Home Politik Guna dana KWAN sama seperti ambil wang dari KWSP – Wan Saiful

Guna dana KWAN sama seperti ambil wang dari KWSP – Wan Saiful

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) sama seperti pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Namun segelintir pengkritik yang lantang mengkritik tentang penggunaan dana dari KWAN itu dianggap tidak konsisten dalam mengeluarkan pandangan, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau turut menggelar kumpulan pengkritik itu sebagai ‘Kluster Merungut’ kerana melontarkan pandangan tidak rasional serta tidak mencerminkan kepentingan untuk rakyat.

Kata Wan Saiful, kumpulan itu begitu lantang mengemukakan kewajaran kepentingan pengeluaran KWAN walhal pada masa sama kumpulan itu juga yang berjuang bantu rakyat keluarkan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Jelasnya, topik pengeluaran dana KWAN adalah topik yang wajar dibincang secara rasional bukan terus dikritik dengan pandangan negatif di mata rakyat.

“Hari ini mereka merungut mengenai pengeluaran dana KWAN sebab kononnya KWAN adalah untuk masa depan sedangkan kumpulan sama ini juga merungut tuntut KWSP dikeluarkan.

“Tapi sekarang terlupa pula hujah itu. Agaknya, terlalu sibuk cari topik untuk merungut hingga tidak sedar bahawa rungutan mereka dah jadi tidak konsisten langsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 (KWAN) yang membolehkan kerajaan menggunakan dana kumpulan wang itu untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Mengikut Akta KWAN 1988, dana berkenaan dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan PETRONAS.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata KWAN tidak boleh digelar sebagai wang atau dana petroleum walaupun sumbangan terbesarnya adalah daripada PETRONAS.

Katanya, segala pulangan yang diperoleh daripada pelaburan dibuat KWAN tetap disimpan di dalam KWAN.

Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menegaskan, isu itu sama seperti pengeluaran dana dari KWSP untuk kegunaan rakyat ketika pandemik.

“Dana KWSP adalah simpanan pekerja sebagai individu untuk masa depan, manakala dana KWAN pula simpanan negara untuk masa depan.

“Dalam situasi biasa, kedua-duanya adalah dana yang sepatutnya kita elak daripada sentuh sebab matlamatnya ialah untuk masa depan.  Covid-19 adalah era situasi luar biasa. Kita semua sedang terhimpit dan ada yang hilang pekerjaan.

“Maka dalam era rakyat susah ini, kita semua mendesak supaya kerajaan benarkan pengeluaran KWSP serta-merta. Kerajaan benarkan, tetapi ada syarat yang ketat untuk seimbangkan antara keperluan mendesak hari ini dengan tabungan untuk masa depan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Saiful  memohon supaya rakyat berterima kasih kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang begitu prihatin membenarkan pengeluaran KWSP sebelum ini.

“Sekarang ini adalah waktu yang luar biasa, untuk jaga rakyat dan bukannya kumpul berbilion ringgit untuk diri sendiri dan bukan juga untuk beli barangan mewah untuk isteri atau jaga kroni.

“Sebab itulah kita perlu berhati-hati membaca komen daripada kluster merungut. Mereka ini bukan fikir mengenai rakyat. Mereka fikir apa yang mereka boleh rungutkan saja, hati-hatilah,” tegasnya. -MalaysiaGazette