KUALA LUMPUR – Seorang tukang masak ditahan polis semasa tampil membuat laporan polis hari ini mengenai satu video membabitkan dirinya yang memandu secara merbahaya tular di media sosial.
Suspek ditahan atas dakwaan kesalahan memandu secara merbahaya dan mengancam pengguna lain telah menerusi video dalam kejadian 21 April lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek membuat laporan polis selepas mendakwa tertekan kerana menerima banyak panggilan telefon selepas video tersebut tular.
“Pada 21 April lalu telah tular satu klip video berdurasi 0.17 saat mengenai sebuah kereta jenis Honda CRV dipandu secara berbahaya dengan memotong dari arah kiri secara tiba-tiba di jalan Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
“Klip video tersebut juga memaparkan pemandu kenderaan tersebut telah memberhentikan kenderaannya secara tiba-tiba.
“Tindakan suspek itu menyebabkan pemandu yang merakam video tersebut terpaksa membrek secara mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun Shamsul Amar berkata, suspek seorang lelaki tempatan berumur 58 tahun yang merupakan pemandu Honda CRV tersebut.
“Suspek juga telah datang membuat laporan polis kerana semasa sedang bekerja, dia telah terima satu rakaman video kejadian itu.
“Suspek juga telah menerima banyak panggilan telefon dan Whatapps dari kenalannya mengenai insiden itu sebelum tampil ke Balai Polis Trafik Klang Selatan hari ini,” ujarnya.
Kertas siasatan telah dibuka ke atas suspek itu dan kes disiasat di bawah seksyen 42 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette