KUALA LUMPUR – Tiga kakitangan kerajaan dan enam remaja merupakan antara 12 yang ditahan menerusi Op Samseng Jalanan di ibu negara awal pagi ini.
Operasi yang bermula pada pukul 1 hingga 4 pagi itu dijalankan oleh tiga pegawai dan 15 anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.
Menurut Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, operasi tersebut dilakukan sekitar Jalan Genting Klang, Jalan Ampang dan Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH).
“Seramai 11 lelaki dan seorang remaja perempuan yang membonceng motosikal ditahan dalam operasi tersebut dan kesemua mereka berusia dalam lingkungan 17 hingga 27 tahun.
“Semakan mendapati seorang daripada pembonceng merupakan pelajar kolej manakala yang lain bekerja sebagai pengawal keselamatan, penghantar makanan dan pekerja bengkel.
“Penunggang ini dikesan melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak mempamerkan nombor pendaftaran yang lengkap, menunjukkan aksi berbahaya seperti roket, zig zag dan wheelie serta bersaing sesama sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkefly berkata, lapan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan satu kesalahan dikesan dibawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955. – Malaysia Gazette
Sita dan lelong motosikal mereka dengan harga mampu milik kepada golongan yang memerlukan.