Home Seni Hidup 2.2 juta tonton Jejak Rasul

2.2 juta tonton Jejak Rasul

Jejak Rasul : Ulama Pewaris Rasul disiarkan setiap hari Jumaat hingga Ahad, pukul 6.30 petang di TV3.

KUALA LUMPUR – Dokumentari Islamik terbitan TV3, Jejak Rasul: Ulama Pewaris Rasul mencipta rekod apabila episod keenam edisi ke-27 pada minggu lalu ditonton 2.2 juta orang.

Dokumentari ikonik yang menjadi tontonan wajib rakyat Malaysia setiap Ramadan mencapai 2.2 juta penonton ketika disiarkan antara pukul 6.30 petang hingga 7 malam pada Sabtu lalu, berdasarkan maklumat Nielsen Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, edisi terbaharu Jejak Rasul mencatat kejayaan memberangsangkan hasil komitmen tinggi kumpulan produksi.

“Alhamdulillah, Jejak Rasul edisi 2021 mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan sejak minggu pertama yang merekodkan 1.2 juta penonton bagi episod ketiga.

“Mereka berusaha dan berkarya dengan kreatif dalam menyempurnakan edisi tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menampilkan Ahmad Fedtri Yahya sebagai perantara, Jejak Rasul : Ulama Pewaris Rasul membawa kesinambungan dakwah Islamiah di Tanah Melayu seawal kurun pertama Hijrah.

Khairul Anwar berkata, biarpun berdepan sekatan perjalanan ke luar negara akibat pandemik Covid-19, penonton masih dapat menyaksikan naratif dan videografi yang cantik ketika menjejak peninggalan sejarah Islam di Malaysia.

Jejak Rasul : Ulama Pewaris Rasul yang diterbitkan bersama Muhamad Amin Yusoff dan Ahmad Fedtri menjalani penggambaran selama 41 hari di tujuh negeri di Malaysia.

Lokasi Tanah Melayu yang strategik menjadi laluan utama pedagang sutera menghubungkan dunia Timur dan Barat dengan pelabuhan di daerah pesisir Tanah Melayu dipercayai menjadi pintu masuk alim ulama.

Episod keenam yang disiarkan pada 18 April lalu mencari jawapan benarkah sebuah wilayah Islam wujud di Melaka sebelum kehadiran Parameswara.

Episod itu juga meninjau apakah benar Kesultanan Melaka terbentuk hasil dakwah alim ulama asing.

Tontoni Jejak Rasul : Ulama Pewaris Rasul sebanyak 15 episod tajaan Pharmaniaga Baraka dan Jabatan Muzium Malaysia setiap hari Jumaat hingga Ahad, pukul 6.30 petang di TV3.

Siaran ulangan boleh ditonton di TV9 pada setiap Sabtu dan Ahad, pukul 10.30 malam. – MalaysiaGazette