Home Nasional Polis nafi pukul individu terlibat demonstrasi PKPD di Tawau

Polis nafi pukul individu terlibat demonstrasi PKPD di Tawau

Datuk Hazani Ghazali

KOTA KINABALU – Polis Sabah hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan anggotanya memukul bahu dan dada seorang individu yang ditahan ketika melakukan demonstrasi berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Muhibbah Raya, Tawau, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu yang disiar sebuah portal hari ini dan beliau telah mengarahkan siasatan segera dilakukan.

“Berdasarkan siasatan dijalankan setakat ini, pihak polis menafikan sekeras-keranya berlakunya sebarang pelakuan oleh pegawai kanan atau anggota polis yang menidakkan hak ke atas seorang tangkapan, apatah lagi melakukan sebarang kekerasan kepada mana-mana tangkapan atau Orang Kena Tahan (OKT).

“Proses tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis adalah mematuhi serta selaras dengan peruntukan Seksyen 15 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Sebuah portal hari ini melaporkan dakwaan badan bukan kerajaan Bersih yang mengutuk tindakan polis memukul seorang aktivis apabila ditahan bersama enam lagi ketika melakukan demonstrasi itu di Tawau semalam.

Hazani berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai atau pihak-pihak yang tertentu supaya mendapatkan fakta yang lebih tepat sebelum membuat sebarang dakwaan yang tidak betul.

Sementara itu di TAWAU, Ketua Polis Daerah Tawau, Peter Umbuas berkata, tujuh yang ditahan semalam kini disiasat di bawah tiga kesalahan iaitu Seksyen 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman, dan Seksyen 25 Ordinan Darurat 2021.

“Mereka ini disiasat kerana menghalang tugas penjawat awam selain ingkar prosedur operasi standard COVID-19 yang sedang dikuatkuasakan serta mengadakan perhimpunan tanpa permit,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Peter berkata, semua mereka yang berusia antara 27 dan 31 tahun, ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Peguam Raymond Guok yang mewakili semua suspek berkata permohonan reman hari ini dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani. – Bernama