Home Pendapat Ramadan lahirkan pekerja berproduktiviti tinggi, pekerti disegani

Ramadan lahirkan pekerja berproduktiviti tinggi, pekerti disegani

Pekerja pembersihan, melakukan sanitasi di kawasan sekolah selepas di arahkan tutup akibat pelajar yang di jangkiti wabak Covid-19 ketika Tinjauan Lensa Malaysia Gazette di SMK Seksyen 7 Shah Alam. Foto FIKRI YAZID, 21 APRIL 2021.

RAMADAN kembali dan para Muslim menyambut ketibaan bulan mulia ini dengan penuh kegembiraan. Hati para Muslim seakan berbunga-bunga untuk menjalani ibadah puasa yang
menjadi simbol utama Ramadan.

Pada kaca mata rohani, Ramadan seharusnya mendekatkan diri seseorang Muslim kepada Tuhannya kerana pada bulan inilah orang-orang berpuasa diuji dengan lapar dan dahaga,
apatah lagi jika dalam cuaca panas.

Pada sisi yang berbeza, ketibaan Ramadan membuka peluang kepada transformasi diri yang melibatkan cara bekerja yang lebih efisien.

Satu perkara penting ialah tiadanya makan dan minum pada waktu bekerja. Biasanya pada bulan selain Ramadan, orang Islam (dan bukan Islam) akan mengambil makan tengah hari
untuk memenuhi keperluan diri.

Pada lazimnya juga, orang Malaysia gemar mengambil makan tengah hari bersama rakan-rakan. Waktu makan mungkin akan menjadi lebih panjang kerana banyak berbual selain makan. Ini bukanlah amalan bagus untuk seseorang pekerja.

Ramadan telah membetulkan keadaan ini dengan “meniadakan” makan dan minum pada waktu puncak ini. Ini memberikan lebih masa untuk para pekerja Muslim bekerja.

Apabila bekerja dalam keadaan berpuasa, fokus fikiran boleh diletakkan kepada kerja berbanding fikiran kepada hendak makan dan minum.

Fokus yang lebih baik dapat dijana dan dapat meningkatkan kualiti kerja. Kerja boleh dibuat dengan lebih teliti dan dapat menyemak kerja sehingga memberikan hasil terbaik.

Bekerja dalam bulan Ramadan juga dapat menjadikan pekerja lebih beringat kepada Tuhan dan Malaikat pencatat amal. Konsep berpuasa tidak hanya berlapar dan dahaga, sebaliknya mata, tangan, dan telinga juga “berpuasa”.

Dengan tidak melihat perkara yang ditegah, tidak mendengar gosip yang bercampur fitnah, dan tidak pula curi tulang semasa bekerja, pekerja menjadi lebih berintegriti dalam menjalankan tugas.

Sedar atau tidak, Ramadan juga mendidik kita soal ketepatan masa. Waktu imsak perlu dipatuhi agar tidak lewat, manakala waktu berbuka pula amat digalakkan untuk ditepati.

Pekerja yang peka soal ketepatan masa akan mewujudkan cara kerja yang berdisiplin dan tidak bertangguh-tangguh atau lewat menyiapkan kerja. Ciri kerja begini amat penting dalam
memastikan organisasi mendapat hasil kerja yang tidak melepasi tempoh yang disasarkan.

Kelewatan akan menyebabkan organisasi mendapat nama buruk dan mencalar imej, sementara kerja yang siap pada waktunya akan menjana rasa percaya pihak lain terhadap sesuatu organisasi.

Ramadan juga menjadi bulan yang dianjurkan untuk memperbanyakkan sedekah. Sebagai seorang pekerja, sedekah boleh dilakukan dengan melakukan kerja yang bersifat tambahan.

Pekerja cemerlang lazimnya tidak hanya membuat kerja sekadar cukup, sebaliknya mereka membuat kerja lain yang boleh menjadikan mereka lebih terlihat berdedikasi dan visible.

Contohnya, terlibat dalam aktiviti komuniti yang dapat menjadikan pekerja lebih erat dengan masyarakat sekeliling pada bulan Ramadan. Sedekah begini boleh dianggap sedekah tenaga
atau keringat, selain sedekah wang atau harta yang biasa dibuat orang.

Ramadan juga membuktikan bahawa manusia tidak perlu makan dan minum dengan banyaknya untuk kekal hidup. Keperluan makan dan minum ini satu kemestian, tetapi ia pada kadar sekadar yang diperlukan sahaja.

Pekerja boleh menyedari bahawa dengan mengurangkan makan dan minum, mereka boleh menjadi lebih sihat. Pekerja sihat amat penting kepada organisasi. Organisasi yang mendapat
ramai pekerja sihat akan dapat menjadi entiti yang penuh produktiviti dan mencapai prestasi terbaik.

Organisasi yang mendapat pekerja tidak sihat mungkin berisiko terjejas produktiviti dan tidak mencapai sasaran kerja organisasi kerana mereka tidak mendapat hasil terbaik daripada pekerja terbabit.

Di sini, amat penting majikan melihat tahap kesihatan pekerja dan bertindak awal untuk memastikan pekerja begini masih mampu menyumbang dengan kemampuan yang ada.

Sebagai tambahan, anjuran berpuasa di luar bulan Ramadan pula melalui puasa sunat boleh diinstitusikan sebagai satu amalan organisasi, khususnya buat pekerja beragama Islam.

Galakan dan kempen berpuasa sunat di luar bulan Ramadan boleh disemarakkan untuk tujuan menjana lebih ramai bilangan pekerja yang sihat dan cergas.

Menginstitusikan amalan berpuasa sunat dapat membentuk persekitaran soleh dalam pekerjaan kerana setiap orang Islam didorong untuk mengamalkan ibadah ini.

Sehingga kini, amat jarang kita mendengar puasa sunat diinstitusikan sebagai satu amalan organisasi. Ini mungkin berlaku kerana puasa sunat dianggap pilihan peribadi.

Tetapi, dengan galakan berterusan melalui siri kempen yang istiqamah, para pekerja Muslim akan didorong mengamalkan puasa sunat ini seperti puasa hari Isnin dan Khamis.

Dorongan pada peringkat yang lebih bersifat komunal berbanding sendiri-sendiri dijangka dapat mewujudkan satu bulatan komuniti yang berkongsikan satu aspirasi iaitu “kita sedang berpuasa” yang akan memudahkan pembentukan sifat empati dan menghargai antara satu sama lain.

Banyak hikmah yang terkandung daripada amalan berpuasa ini. Justeru, pekerja Muslim haruslah mengambil kesempatan pada bulan Ramadan yang mulia ini untuk sama-sama mentransformasi diri menjadi pekerja yang ulung dengan produktiviti tinggi dan pekerti disegani.

Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi
Malaysia (UTM)