Home Nasional 45 ingkar SOP di restoran kena kompaun maksimum

45 ingkar SOP di restoran kena kompaun maksimum

KUANTAN – Seramai 45 pelanggan dan pemilik premis antara individu dikenakan kompaun maksimum dalam serbuan operasi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Restoran Vanggey, Jalan Teluk Sisek di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebilangan besar pelanggan di restoran tersebut gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang kemaskini 19 April lalu iaitu tiada penjarakan fizikal satu meter antara pelanggan.

“Kesemua 45 pelanggan berusia lingkungan 19 hingga 34 tahun terdiri daripada bangsa Melayu, India dan Cina dikenakan kompaun antara RM1,500 hingga RM2, 000 setiap orang.

“Pelanggan terdiri daripada 38 lelaki dan tujuh wanita dikompaun setelah mendapati kedudukan keadaan yang sangat rapat dan ramai antara mereka memang tidak boleh dikompromi.

“Jika diperhatikan mereka bersentuhan sedangkan  ada banyak meja kosong.

“Ada juga dua individu tidak mengimbas dan mendaftar MySejahtera dan manakala seorang lagi cuba menipu pihak polis dengan menunjukkan rekod MySejahtera di lokasi kedai yang sama tetapi bukan tarikh 21 April lalu.

“Ada juga pelanggan masih tidak faham dan kononnya mendakwa tidak tahu SOP mengenai jarak fizikal satu meter,” kata Mohamad Noor.

ARTIKEL BERKAITAN :

SOP sambutan Aidilfitri diumum minggu depan

Aktiviti masjid di Pahang perlu tamat sebelum jam 10 malam

Sekolah di Pahang dikompaun jika cetus kluster Covid-19

Jelas Mohamad Noor, kesemua individu terbabit telah dikenakan tindakan kompaun di bawah kesalahan kategori ketiga Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana kesalahan tiada penjarakan fizikal.

Dalam pada itu, pemilik premis dikenakan kompaun RM10,000 berikutan ingkar SOP dalam memastikan pelanggan mematuhi jarak fizikal, mendaftar masuk MySejahtera dan merekod suhu seperti yang diarahkan kerajaan sekiranya menjalankan operasi kedai.

“Saya akan pergiatkan pemantauan pematuhan SOP, tiada kompromi dan tiada nasihat lagi di mana tindakan kompaun akan dibuat.

“Alasan pemilik premis mengatakan  sudah menasihati pelanggan namun tapi pelanggan tidak mengambil peduli.

“Bagi saya jika pelanggan ingkar, pemilik premis seharusnya terus menghubungi PDRM atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), bukan sekadar bercakap sahaja”. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.