Home Ekonomi MyCIF labur sebanyak RM165 juta dalam 5,349 ECF, P2P

MyCIF labur sebanyak RM165 juta dalam 5,349 ECF, P2P

Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) telah melabur sebanyak RM165 juta dalam 5,349
kempen pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P), yang memberi manfaat kepada 1,197 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia sehingga akhir tahun lalu 2020.

Sejak penubuhannya pada Oktober 2019, pelaburan bersama ini telah diagihkan dengan pelaburan sektor swasta yang berjumlah
RM431 juta.

MyCIF, sebuah dana yang ditadbir oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi pihak Kementerian Kewangan (MOF), turut menghasilkan pulangan modal positif yang positif setakat penghujung tahun 2020, menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam laporan tahunan pertama MyCIF yang dikeluarkan hari ini.

Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, badan pengawas selia itu menyokong dan menggalakkan inovasi kewangan digital baharu dan MyCIF telah berjaya membantu syarikat peringkat permulaan dan PMKS untuk memenuhi keperluan pembiayaan mereka dalam tempoh pemulihan ekonomi pasca wabak yang mencabar ini.

“MyCIF meningkatkan kecairan Pasaran ECF dan P2P untuk menyediakan pembiayaan kepada segmen ekonomi Malaysia yang kritikal ini dan pada masa yang sama kepada khalayak dalam kumpulan pelabur yang lebih besar. Ini telah membantu PMKS
mendapatkan dana dan menggunakannya dengan segera untuk keperluan perniagaan mereka,” katanya.

MyCIF ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2019 dengan peruntukan permulaan sebanyak RM50 juta untuk melabur dalam PMKS bersama pelabur swasta melalui platform ECF dan P2P.

Seterusnya, MyCIF telah menerima peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2020, di mana tambahan sebanyak RM10 juta adalah khusus untuk perusahaan sosial.

Pengumuman Laporan Tahunan tersebut mencerminkan komitmen MyCIF terhadap tadbir urus yang baik dan komitmennya untuk menggalakkan ketelusan dalam penggunaan dana awam dan identiti penerima dana tersebut.

Laporan Tahunan MyCIF, serta butiran skim tersebut boleh didapati di laman web SC. – MalaysiaGazette