SHAH ALAM – Sebanyak dua laporan polis diterima daripada pelajar sekolah terhadap guru pendidikan jasmaninya yang didakwa telah mengeluarkan kata-kata lucah berunsur rogol terhadapnya.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan perkara itu dan kedua-dua laporan itu diterima daripada pelajar perempuan yang dikatakan terjejas akibat perbuatan guru itu.
“Pelajar perempuan itu membuat laporan pertama berkaitan dengan apa yang dirasakan pendekatan guru itu tidak senonoh.
“Keduanya, laporan tambahan adalah berkaitan gurauan rakan sekelas pelajar itu dalam isu ini,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Tambah Acryl Sani, polis telah menggabungkan kedua-dua laporan itu dan membuka satu kertas siasatan dan sedang dalam proses mengambil keterangan pihak-pihak berkaitan.
Dalam kes yang sama, pelajar dan juga guru berkaitan sudah diambil rakaman percakapan polis untuk membantu siasatan.
“Selepas ini kita akan merakam percakapan dari pelajar-pelajar lain yang ada dalam kelas itu semasa kejadian. Apabila kertas siasatan itu dilengkapkan, ia akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” tegasnya.
Sebelum itu, gurauan guru itu telah tular dalam media sosial sehingga meraih perhatian serta kritikan awam termasuk aktivis dan pertubuhan wanita serta bekas menteri.
Pelajar wanita berusia 17 tahun itu pada Jumaat lalu mendakwa guru lelaki itu membuat gurauan mengenai rogol semasa pendidikan jasmani di sekolah itu.
Gurauan itu didakwa disebut oleh guru berkenaan semasa pelajar membincangkan topik gangguan seksual semasa sesi pendidikan jasmani.
“Adalah baik untuk kita mengetahui, berbincang mengenai gangguan seksual, bagaimana untuk menjaga diri kita dan hak rupa fizikal kita.
“Namun gurauannya bertambah pelik dan lucah,” dakwa pelajar itu.-MalaysiaGazette