KUALA LUMPUR – Seorang bekas pesakit kanser teruja dan bersemangat menerima suntikan vaksin bagi fasa kedua pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.
Malah Tay Say Ping, 75, bersyukur kerana menjadi antara warga emas yang terawal menerima suntikan itu memandangkan dia pesakit di hospital itu.
Bekas pesara Malaysia Airlines, ini memandangkan dia perlu berjumpa doktor dua bulan sekali di HKL dan merupakan golongan rentan yang berisiko.
“Saya membut pendaftaran program vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera pada hari kedua selepas pelancarannya.
“Kalau ikut saya perlu menunggu lagi nombor giliran. Namun memandangkan saya bekas pesakit kanser prostat, pihak menawarkan kepada saya untuk mempercepatkan suntikan vaksin atas faktor golongan berisiko,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
Say Ping menjadi individu pertama dalam keluarganya yang menerima vaksin lebih awal berbanding isteri dan tiga orang anaknya.
Menurutnya, perasaan takut tidak wujud langsung sebelum menerima suntik malah dia bersemangat hadir ke hospital.
Berkongsi pengalaman disuntik, dia mengakui tidak berasa sakit langsung dan memberitahu suntikan mengambil darah lebih terasa kesakitannya.
“Masa suntikan vaksin ini tidak rasa apa-apa dan saya okey sekarang. Jika dibandingkan dengan suntikan mengambil darah, ia lagi menyakitkan,” katanya yang disahkan mengidap kanser prostat Sembilan tahun lalu.
Say Ping turut menasihati seluruh rakyat terutama golongan muda supaya mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin ini sebagai usaha membendung penularan pandemik Covid-19.
Dia berkata, golongan yang merasakan bahawa mengambil suntikan vaksin itu berbahaya, perlu berhenti berfikiran sedemikian.
“Suntikan ini dapat mengelakkan kita daripada dijangkiti Covid-19, bukan sahaja untuk kesihatan diri sendiri tetapi untuk orang sekeliling juga.
“Bagi sihat memang tiada masalah dan tiada kesan sampingan pun. Saya berharap agar mereka yang belum mendaftarkan diri untuk segera berbuat demikian kerana difahamkan jumlah yang berdaftar dilihat amat sedikit,” katanya yang hadir ke HKL dengan menggunakan tongkat.
Sementara itu, seramai 42 warga emas dan pesakit di HKL menerima suntikan vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di seluruh negara yang bermula minggu lalu. – MalaysiaGazette