KUANTAN – Istana Pahang membatalkan dan menarik semula Darjah Kebesaran Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada ahli perniagaan dalam buruan Liow Soon Hee atau Nicky Liow berkuat kuasa serta-merta.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata turut dibatalkan ialah gelaran Datuk terhadap adik Nicky, Liow Wei Loon yang sebelum ini menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP).
“Penarikan semula anugerah darjah kebesaran dibuat bagi menjunjung perintah Sultan Pahang dan penama tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan.
Sallehuddin berkata surat penarikan darjah kebesaran itu telah dihantar kepada penama terlibat Rabu lepas (21 April).
Pada 9 April lepas, Nicky dan adiknya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor kerana didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang. Bagaimanapun, pendakwaan terhadap Nicky dibuat tanpa kehadirannya kerana dipercayai telah melarikan diri.
— BERNAMA