Home Nasional Pesalah diberi pengurangan, kompaun kena ikut garis panduan – Takiyuddin

Pesalah diberi pengurangan, kompaun kena ikut garis panduan – Takiyuddin

Takiyuddin Hassan Covid-19 positive
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pesalah-pesalah di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) diberikan kadar pengurangan sebanyak 50 peratus sekiranya membayar kompaun tersebut dalam tempoh tujuh hari.

Jika mereka membayarnya dalam tempoh 14 hari pula akan diberikan pengurangan 25 peratus, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurutnya, langkah mengenakan kompaunĀ  mestilah dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Beliau berkata kerajaan telah menggubal Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun di bawah akta tersebut untuk dijadikan panduan kepada pihak penguat kuasa yang menjalankan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Mengikut garis panduan tersebut, perbuatan seseorang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis merupakan kesalahan kategori tiga yang boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin menjelaskan pindaan yang dibuat terhadap Akta 342 itu adalah untuk menaikkan kadar kompaun yang boleh dikenakan bagi sesuatu tindakan atau perbuatan yang menjadi kesalahan kerana menyebabkan penularan wabak Covid-19 dalam negara ini.

Menurutnya, segala tindakan mengenakan kompaun bagi kesalahan di bawah undang-undang adalah bagi mencegah dan memberi pengajaran kepada pelaku agar sama-sama bertanggungjawab dalam usaha memerangi pandemik.- MalaysiaGazette