Home Seni Hidup Siti Nurhaliza pilih nama Muhammad Afwa

Siti Nurhaliza pilih nama Muhammad Afwa

Foto Instagram Siti Nurhaliza.

KUALA LUMPUR – Genap tujuh hari, penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengumumkan nama cahaya keduanya, Muhammad Afwa menerusi hantaran di Instagram (IG) miliknya.

Siti Nurhaliza memberitahu, Muhammad Afwa menjadi pilihan kerana nama itu mempunyai makna yang bersesuaian dengan kelahirannya dalam Ramadan.

“Hari ini, 26 April 2021, bersamaan dengan 14 Ramadan 1442H, anakanda saya genap berusia tujuh hari. Sunat menamakan anak yang baru lahir dengan nama yang elok dan membawa makna baik kerana nama ini akan dipanggil pada hari akhirat kelak.

“Alhamdulillah, hari ini, suami dan saya berkongsi wajah dan nama anakanda kedua. Kami menamakan anakanda dengan nama Muhammad Afwa yang membawa makna keampunan atau kemaafan.

Foto Instagram Siti Nurhaliza.

“Muhammad Afwa lahir pada bulan Ramadan, bulan keampunan dan dalam doa malam Lailatul Qadar juga ada menyebut afwa,” tulisnya malam tadi.

Siti Nurhaliza juga berkongsi nama itu melengkapkan afiyah dan terdapat dalam doanya dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

“Semoga anakanda Muhammad Afwa sentiasa dalam keampunan dan kemaafan Allah SWT dan kita semua juga dalam lindungan-Nya,” tulisnya.

Terdahulu, Siti melahirkan bayi lelaki seberat 3.84 kilogram (kg) melalui pembedahan di sebuah pusat perubatan di Selangor pada 19 April lalu.

Sementara itu, tiga tahun lalu, Siti dan suami dikurniakan anak sulung, Siti Aafiyah Khalid. – MalaysiaGazette