Home Nasional Bukit Aman sahkan 2 portal lapor tajuk berita Acryl secara mengelirukan

Bukit Aman sahkan 2 portal lapor tajuk berita Acryl secara mengelirukan

Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Bukit Aman hari ini mengesahkan dua portal berita tempatan telah mengeluarkan tajuk berita yang mengelirukan daripada kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Ia berkaitan dengan isu gurauan rogol pelajar semalam.

Supritenden Komunikasi Korporat Urusetia Ketua Polis Negara  Skandaguru Anandan, menerusi satu kenyataan hari ini berkata, mungkin gurauan  kepada wartawan merupakan aspek yang sedang disiasat dan tidak bermaksud isu berkenaan hanya gurauan sebagaimana yang digambarkan kedua-dua portal berita tersebut.

“Tajuk berita mengelirukan oleh kedua portal ini antaranya laporan Portal MalaysiaKini bertajuk “DEPUTY IGP DESCRIBES RAPE THREAT AGAINST TEEN AS ‘MAYBE’ A JOKE” dan laporan China Press bertajuk “PELAJAR WANITA DIHINA DIUGUT ROGOL, ACYRL SANI: RAKAN SEKELAS MUNGKIN BERGURAU” bertarikh 26 April 2021.

“Kedua tajuk ini mendakwa Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani telah menyatakan ugutan rogol sebagai kemungkinan gurauan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambah Skandaguru, tajuk laporan dua portal itu amat mengelirukan kerana tidak memberi gambaran tepat mengenai kenyataan sebenarnya yang dibuat oleh Acryl Sani semasa sidang media.

“Tajuk laporan yang hanya merujuk kepada sebahagian respon dan menggambarkannya sebagai intipati kenyataan, merupakan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.

“Ia sekaligus telah mencemar kredibiliti siasatan polis serta mewujudkan spekulasi negatif terhadap mangsa dalam kes tersebut,” ujar beliau lagi.

Menurutnya, tiada mana-mana aspek dalam kes berkenaan yang pernah dianggap sebagai “gurauan”.

“Polis sentiasa memandang serius setiap laporan polis serta sentiasa memberi komitmen bagi menjalankan siasatan terperinci.

“Kebertanggungjawaban pihak media dalam melaporkan kes sebegini amat diperlukan bagi mengelak persepsi salah terbentuk di kalangan masyarakat, sebelum proses siasatan diselesaikan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita semalam di Shah Alam, Acryl mengesahkan polis menerima dua laporan yang dibuat pelajar sekolah berhubung tindakan seorang guru pendidikan jasmani di sekolahnya yang didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur lucah semasa mengajar dalam bilik darjah.

Acryl Sani menjelaskan, laporan pertama berhubung pendekatan yang tidak sesuai digunakan guru terbabit, manakala kedua berkaitan gurauan rakan sekelas berkenaan kes berkenaan.

“Bagaimanapun kedua-dua laporan itu kita satukan dalam satu siasatan sebab melibatkan satu lokaliti dan kita sedang mengambil keterangan-keterangan daripada mereka yang ada di tempat kejadian tersebut.

“Kita telah pun mengambil keterangan daripada guru sekolah tersebut dan daripada pengadu juga kita sudah ambil keterangan dan sekarang ini pegawai-pegawai penyiasat sedang giat mengambil rakaman percakapan dariapda rakan-rakan sedarjah yang untuk dijadikan sebagai keterangan tambahan dan sokongan untuk kita kemukakan kepada pihak Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Sebelum ini, seorang guru mata pelajaran pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan kerana seperti menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.

Dakwa seorang pelajarnya, kejadian itu berlaku pada Jumaat ketika sedang mengikuti mata pelajaran tersebut dengan seorang guru lelaki.-MalaysiaGazette