KUANTAN – “Saya selalu jalan Pantai Sepat, saya suka makan sata di sini, kalau makan sata ingat saya, ya.”
Demikian titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menyantuni 156 golongan fakir miskin dan orang kurang upaya di Masjid Pantai Sepat, Kuantan.
Gelagat bersahaja baginda sentiasa menyentuh hati rakyat daripada semua lapisan masyarakat.
Di samping bergurau senda, baginda tetap menasihati rakyat agar menjaga keindahan Pantai Sepat dan menjaga kesihatan diri masing-masing.
Rakyat jelata teruja menantikan keberangkatan baginda seawal jam 3 petang kerana keluarga diraja itu sentiasa dekat di hati rakyat dan dikenali ‘raja dan rakyat berpisah tiada’.
Selamah Mohamad Shah,63 berasal dari Kampung Cerok Paloh, berasa teruja menerima sumbangan daripada YDPA sendiri.
“Makcik anak tiga, kalau umur panjang nak jumpa raja kita lagi yang berjiwa rakyat, walaupun mata makcik kabur tidak beberapa nampak.” katanya dengan nada hiba.
Zainudin Abdul Rahman,71, berasa gembira apabila menerima sumbangan daripada tangan tuanku sendiri.
“Tuanku duduk jauh tapi datang sendiri menyampaikan sumbangan, memang tak sangka-sangka.” katanya
Kamariah Ngah , 49 anak jati Kampung Pantai Sepat menzahirkan rasa syukur dan menyifatkan tuanku pemimpin yang disenangi kerana banyak berjasa kepada rakyat.
Mereka menerima sumbangan sebanyak RM400 daripada sumbangan pribadi baginda dan Majlis Agama Islam Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) beserta beg barang keperluan makanan.
Program Santuni Kasih dan Kurniaan Daerah Kuantan melibatkan dua lagi lokasi di Masjid Kampung Penor dan Masjid Cherok Paloh.
ARTIKEL BERKAITAN
Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada rakyat Indonesia
Agong bangga dua pelajar Malaysia dipilih ke Harvard College
Turut berangkat Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Keluarga diraja itu juga turut berkenan melawat Bazar Ramadan Taman Ubai Perdana serta membeli juadah berbuka dan menyantuni peniaga bazar. – MalaysiaGazette