GEORGE TOWN – Seramai 10 individu termasuk seorang wanita yang leka bertaruh judi dadu ditahan polis di sebuah kedai makan di Taman Lip Sin di sini lewat malam tadi.
Bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang menyerbu kawasan terbuka itu pada jam 12 tengah malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, ketika serbuan kesemua suspek berusia 45 hingga 65 tahun itu sedang leka berjudi.
“Hasil pemeriksaan di lokasi kita merampas wang tunai berjumlah RM300 yang dipercayai wang taruhan di atas meja manakala RM1,200 dalam milikan 10 suspek terbabit.
“Kesemua suspek itu dilihat melakukan pertaruhan judi dadu itu secara terbuka di meja makan kedai tersebut.
“Selain itu, semakan lanjut juga mendapati empat daripada 10 suspek itu pernah diberkas atas kesalahan berjudi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953,” kata Rahimi. – MalaysiaGazette