Home Ekonomi Eksport bulan Mac tumbuh kukuh 31%

Eksport bulan Mac tumbuh kukuh 31%

KUALA LUMPUR – Eksport dan import Malaysia pada Mac 2021 mencatatkan nilai tertinggi, masing-masing mencecah RM104.9 bilion dan RM80.8 bilion.

Lebihan dagangan berjumlah RM24.2 bilion (+96.1%), menunjukkan ke arah pemulihan ekonomi daripada kesan wabak Covid-19, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, ekport Malaysia pada Mac 2021 terus berkembang dengan merekodkan pertumbuhan kukuh dua digit 31.0 peratus kepada RM104.9 bilion dari setahun yang lalu, didorong oleh eksport domestik.

Eksport domestik bernilai RM87.0 bilion menyumbang 82.9 peratus kepada jumlah eksport, meningkat dengan kukuh 38.5 peratus tahun ke tahun.

Sementara, eksport semula berjumlah RM17.9 bilion meningkat 3.7 peratus berbanding Mac 2020.

Import pada Mac 2021 juga mencatat nilai bulanan tertinggi RM80.8 bilion, meningkat 19.2 peratus daripada RM67.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Jumlah dagangan yang bernilai RM185.7 bilion meningkat 25.6 peratus tahun ke tahun.

Selari dengan pertumbuhan jumlah dagangan, daripada 251 kumpulan barangan bagi eksport, 198 kumpulan barangan menunjukkan kenaikan sementara bagi import, 188 daripada 258 kumpulan barangan mencatat pertumbuhan positif berbanding tahun
sebelumnya.

Di samping itu, prestasi Mac 2021 juga lebih baik berbanding Mac 2019.

Mohd Uzir berkata, prestasi keseluruhan bagi suku pertama 2021 juga menunjukkan peningkatan yang signifikan berbanding ST1 2020.

Eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan masing-masing meningkat 18.2 peratus, 10.8 peratus, 14.8 peratus
dan 58.6 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan peningkatan dalam eksport didorong oleh eksport yang lebih tinggi ke China (+RM5.1 bilion), Amerika Syarikat (+RM5.0 bilion), Singapura (+RM3.6 bilion), Kesatuan Eropah (+RM3.1 bilion), Viet Nam
(+RM2.1 bilion), Hong Kong (+RM1.9 bilion) dan India (+RM1.5 bilion).

Kenaikan import terutamanya dari China (+RM3.9 bilion), Singapura (+RM2.1 bilion), Jepun (+RM1.5 bilion), Thailand (+RM1.5 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.4 bilion) dan Taiwan (+RM1.2 bilion).

Dari segi produk, pertumbuhan didorong oleh barangan elektrik dan elektronik (+RM12.9 bilion); keluaran getah (+RM5.0 bilion); barangan perkilangan logam (+RM2.5 bilion); minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasakan minyak kelapa
sawit (+RM1.9 bilion); kimia dan bahan kima (+RM1.5 bilion) dan jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM1.5 bilion).

Kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik dan elektronik (+RM5.3 bilion); barangan perkilangan logam (+RM1.5 bilion);
kimia dan bahan kimia (+RM1.4 bilion); kelengkapan pengangkutan (+RM1.3 bilion); jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM1.2 bilion) dan keluaran getah (+RM1.1 bilion).

Pada masa yang sama, import mengikut Penggunaan Akhir mencatatkan peningkatan bagi semua kategori utama iaitu barangan perantaraan, modal dan penggunaan.

Import barangan perantaraan (54.0% daripada jumlah import) meningkat RM4.8 bilion atau 12.4 peratus, diikuti oleh barangan modal yang berjumlah RM8.3 bilion, meningkat RM4.0 bilion dan merangkumi 10.3 peratus daripada jumlah import pada Mac 2021.

Seterusnya, import barangan penggunaan (8.8% daripada jumlah import) mencatat kenaikan 13.0 peratus daripada RM6.3 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM7.1 bilion. – MalaysiaGazette