KUALA LUMPUR – “Biarpun kami merupakan pasukan baharu di Liga Super, saya kagum melihat mentaliti yang ada pada kebanyakan pemain kerana sentiasa mahukan kemenangan dan tidak gentar untuk bersaing walaupun semua orang tahu kami adalah sebuah pasukan kecil jika hendak dibandingkan pasukan lain,” demikian kata pemain tengah Penang FC, David Rowley.
Jelasnya, itu menjadi salah satu resipi kejayaan Penang buat masa ini yang hanya mencatat satu sahaja kekalahan selain meraih lima kemenangan bagi membawa mereka kini di tangga keempat Liga Super, empat mata sahaja di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dia sendiri begitu berbangga dengan pencapaian skuad Harimau Kumbang yang dilihat telah mengejutkan ramai pihak biarpun tidak ramai memperkatakan peluang mereka di awal musim ini.
Namun Rowley enggan menjadikan keputusan yang sedang dikecapi membuatkan ramai pihak meletakkan mereka antara pasukan pilihan bagi mencabar kejuaraan biarpun kedudukan mata mereka semakin rapat di belakang JDT, Terengganu FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
“Fokus kami adalah untuk sentiasa berada lebih baik dari tiap perlawanan yang dilalui dan untuk memperkatakan kami boleh mencabar kejuaraan, saya rasa kami masih terlalu jauh hendak dibandingkan terutama dengan JDT.
“Pengurusan meletakkan sasaran kami untuk berada dalam kalangan enam terbaik, jadi itu akan sentiasa menjadi matlamat utama pasukan namun sukar untuk saya ramal apa yang akan berlaku sepanjang musim ini.
“Jika kami mampu mencipta beberapa kejutan sepanjang musim ini, mungkin ada ruang buat kami untuk berada di kedudukan lebih baik yang mampu mengejutkan semua pihak,” katanya.
Dalam perlawanan terakhir, Penang mudah membenam cabaran Sri Pahang FC pada Sabtu dengan kemenangan 3-0 di Stadium Bandaraya menerusi jaringan Endrick dos Santos, Danial Ashraf Abdullah dan Jafri Firdaus Chew.
Antara kejutan yang dilakar Penang musim ini ialah menundukkan Selangor 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan 2-1 mengatasi Melaka United FC di Stadium Hang Jebat.
Ujian seterusnya buat Pulau Pinang selepas ini adalah bertemu Terengganu FC, yang masih segar dengan kejayaan menjadi pasukan pertama menewaskan JDT di Stadium Sultan Ibrahim,1-0 pada 24 April lalu.
Sementara itu, Rowley mengakui dia gembira Penang seperti membuka semula ruang dalam kariernya selepas prestasi yang serba tidak menjadi di Kedah pada musim lalu.
Biarpun dilanda sedikit keretakan di bahagian tulang tangan kanannya semasa aksi bertemu UiTM FC, pemain berusia 31 tahun yang berasal dari Australia itu lega kerana tidak perlu menjalani sebarang pembedahan.
“Di Kedah, saya tetap gembira selain telah memenangi satu trofi semasa di sana cuma kehadiran di Penang, segala-galanya tampak sempurna malah saya diturunkan dalam semua perlawanan setakat ini.
“Peranan saya lebih membantu di bahagian tengah untuk membantu bahagian pertahanan atau serangan berbeza ketika di Kedah, saya banyak diletakkan peranan selaku pemain nombor enam.
“Walaupun dua perlawanan terakhir (PJ City, Sri Pahang FC) saya diturunkan selaku pemain gantian kerana faktor kecederaan, saya tetap gembira masih diberi ruang.
“Memang sedikit terjejas kerana saya tidak boleh terlalu fizikal semasa bersaing dengan pemain lawan dalam banyak situasi tetapi mujur jurulatih masih memberikan kepercayaan kepada saya untuk turun bermain, “ katanya. – MalaysiaGazette