Home Nasional Polis Klang Utara tahan dua pengurup wang

Polis Klang Utara tahan dua pengurup wang

logo polis
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua individu masing-masing lelaki dan perempuan ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Klang Utara kerana mengaku sebagai pengurup wang yang tidak menghantar kiriman wang daripada seorang pengadu, semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, penahanan kedua-dua suspek berusia 30 dan 35 tahun itu dilakukan dalam dua serbuan berasingan di Setapak, di sini, Selasa lalu.

Tangkapan dibuat susulan laporan polis daripada seorang wanita yang berusia 59 tahun, jam 2 petang, pada 24 Ogos 2020.

“Polis telah menangkap suspek wanita di La Villas Condominium, Jalan 3/21B Taman Setapak, jam 3.04 pagi, pada hari Selasa.

“Manakala tangkapan ke atas seorang lelaki pula dibuat di Taman Sri Sentosa, di sini, jam 6.38 pagi hari yang sama,” katanya.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang mengaku sebagai pengurup wang itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Sebelum ini, mangsa diperdaya dua individu yang mengaku pengurup wang di sebuah kedai perkhidmatan kiriman wang berdekatan stesen bas Klang Jalan Pos Baru, Ogos tahun lalu.

“Pengadu telah menyerahkan wang secara tunai sebanyak RM11,210 kepada seorang wanita untuk dihantar ke Indonesia.

“Selepas tiga hari, pengadu terima panggilan daripada keluarga pengadu di Indonesia mendapati wang yang dikirim masih belum diterima.

“Pengadu telah pergi semula ke kedai perkhidmatan kiriman wang dan berjumpa dengan wanita tersebut dan beliau telah berjanji akan menghantar wang yang dikirim pada keesokan hari.

“Namun sehingga kini, pengadu mendapati wanita tersebut masih belum menghantar wang yang dikirim oleh pengadu,” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pihak polis juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tipu helah yang dilakukan pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

“Orang ramai juga perlu membuat semakan secara terperinci atas syarikat kiriman wang sebelum melakukan apa-apa transaksi dan pembayaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette