KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa agensi penguatkuasa yang menjalankan pemantauan dan kawalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) supaya menggunakan pendekatan yang lebih berhikmah dalam memastikan masyarakat mematuhi SOP yang ditetapkan.
Menurut Perdana Menteri, beliau faham dan menginsafi kesusahan rakyat mencari punca pendapatan untuk menjamin kelangsungan hidup dalam situasi pandemik ini.
“Ada yang berikhtiar menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan seperti menjual burger, makanan ringan, minuman ataupun hasil tanaman masing-masing.
“Mereka ini bukanlah pemilik syarikat atau pertubuhan perniagaan yang besar tetapi hanya pemegang lesen untuk berniaga sendiri secara kecil-kecilan,” katanya ketika berucap merasmikan Pertandingan Komuniti Zon Hijau Covid-19 di Putrajaya.
Menurut Muhyiddin, ketegasan itu penting untuk memastikan peraturan dipatuhi tetapi dalam masa yang sama, perlu ada budi bicara dan perikemanusiaan dalam tindakan yang diambil menurut ruang lingkup undang-undang.
Langkah itu penting supaya usaha untuk mendidik masyarakat atau komuniti akan lebih diterima terutamanya dalam situasi pandemik yang memberi kesan sangat besar kepada kehidupan rakyat.
Perdana Menteri berharap, kerjasama dan persefahaman yang baik antara masyarakat dan pihak penguatkuasa akan mampu memperkasakan lagi komuniti untuk bersama-sama memastikan kejayaan membendung penularan jangkitan virus COVID-19 dapat dicapai.
Menurut Muhyiddin, pemantauan dan kawalan berterusan oleh agensi-agensi penguatkuasa, seluruh warga komuniti mempunyai peranan penting untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Katanya, pematuhan SOP seperti mana yang sering diingatkan oleh Kerajaan adalah faktor utama yang membolehkan kita melindungi diri dan komuniti daripada jangkitan Covid-19.
“Lebih-lebih lagi pada masa ini dunia sedang berhadapan dengan gelombang baharu COVID-19.
“Terdapat varian baharu virus ini yang sedang menular dengan lebih cepat dan memberi kesan yang lebih buruk dari segi peningkatan kes yang lebih mendadak di beberapa buah negara. Kita sudah pastinya ingin mengelakkan penularan varian baharu ini di negara kita,” katanya.
Sehubungan dengan itu, menurut Muhyiddin, kerajaan mengambil langkah yang lebih tegas dalam membendung penularan Covid 19.
Kawalan sempadan negara diperketatkan dengan menghalang kemasukan pelawat dari negara yang sedang dilanda varian baharu Covid-19 dan tTindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar arahan kuarantin wajib.
Namun, katanya, tindakan tegas kerajaan sahaja tidak memadai. Yang lebih penting ialah anggota masyarakat mempunyai kesedaran yang tinggi untuk mematuhi semua peraturan dan SOP yang telah ditetapkan demi melindungi rakyat daripada bahaya virus ini.
“SOP yang sentiasa diulang-ulang ialah pakai pelitup muka, jaga jarak fizikal dan elakkan tempat yang sesak dan sempit,” katanya.
Para pemimpin masyarakat juga mestilah faham dan peka terhadap semua SOP yang telah ditetapkan, bergantung kepada perintah kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa di kawasan massing-masing.
“Ambil tahu program atau majlis-majlis yang akan diadakan oleh penduduk di kampung atau kawasan taman perumahan anda dan pastikan penganjuran program atau majlis betul-betul mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette