Home Ekonomi Mohammad Ashraf pangku Ketua Eksekutif LTAT

Mohammad Ashraf pangku Ketua Eksekutif LTAT

Mohd Zahidi Zainuddin

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Mohammad Ashraf Md. Radzi akan menanggung tugas sebagai ketua eksekutif mulai 3 Mei ini susulan pelantikan Datuk Seri Amrin Awaluddin sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Lembaga Tabung Haji.

Ashraf akan memegang jawatan itu sehingga lantikan ketua eksekutif yang baharu diumumkan kelak.

LTAT berkata, pihaknya telah menerima peletakan jawatan Amrin yang berkuatkuasa 1 Mei ini.

Pengerusi LTAT, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata, Amrin yang mengambil alih kepimpinan LTAT bermula 4 Januari 2021telah berjaya memberikan kesinambungan dan juga pemacuan terhadap pelaksanaan Pelan Transformasi LTAT yang bermula pada awal tahun 2019.

”Dengan pengalamannya, beliau telah berjaya memupuk budaya korporat yang prihatin serta nilai tanggungjawab yang tinggi ke arah pembentukan LTAT sebagai sebuah organisasi pengurusan dana bertaraf dunia.

”LTAT kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk memberikan nilai tambah kepada pihak berkepentingannya dengan memastikan Pelan Transformasi LTAT kekal berada pada landasan yang betul,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Zahidi yang mewakili pihak lembaga dan pengurusan kanan, menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Amrin atas sumbangan beliau terutamanya dalam merapatkan kerjasama dengan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan bagi mempercepatkan pengisytiharan dividen bagi tahun 2020 yang bakal diumumkan kelak, tambah beliau. – MalaysiaGazette