PEMANSUHAN Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan oleh YB Menteri Kanan Kementerian Pendidikan Malaysia petang ini adalah satu kemenangan besar kepada perjuangan mentransformasikan pendidikan negara. Sebagai penganalis dan pengamal pendidikan, keputusan ini disambut baik dan tepat pada masanya.
Sejak sekian lama, perlaksanaan UPSR telah didapati tidak memberikan manfaat terbesar kepada perkembangan pendidikan pelajar. Bayangkan pada usia 12 tahun, anak-anak kita telah diasingkan potensi mereka semata-mata dinilai menggunakan pencapaian UPSR yang sangat terhad ukurannya dan tidak menggambarkan keupayaan keseluruhan seseorang pelajar.
Setiap tahun dianggarkan 500 ribu murid-murid menduduki UPSR. Secara purata 10% murid-murid akan mencapai tahap cemerlang dengan memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran UPSR. Mereka diraikan dan diberikan pujian dengan berbagai penghargaan oleh pihak sekolah. Apa yang pihak sekolah lakukan pada 90% lagi murid-murid yang lain?
Adalah tidak wajar untuk mengkategorikan keupayaan murid-murid pada peringkat yang terlalu awal.Pada kumpulan 90 peratus murid-murid yang tidak cemerlang, hasil dari keputusan UPSR menyebabkan mereka mula membina konsep kendiri yang lemah, tidak percaya pada kebolehan diri dan melihat mereka adalah insan yang tidak berjaya.
Sebab itu UPSR hanya menjayakan 10 peratus murid-murid tetapi mengenepikan potensi 90 peratus murid-murid yang lain. Bagaimanapun, pemansuhan UPSR perlu diisi dengan dua perkara lain. Pertama, perlaksanaan penilaian bilik darjah (PBD) mestilah ditingkatkan kualiti ketekalannya. Khususnya berkaitan tahap kebolehpercayaan penilaian bilik darjah oleh guru dan kesahan konstruk atau dimensi yang perlu dinilai oleh guru di dalam bilik darjah.
Ini cabaran yang perlu diselesaikan segera oleh KPM khususnya Bahagian Guru dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bagi meningkatkan kepercayaan masyarakat kepada PBD.
Kedua, kurikulum yang sedia ada direkabentuk untuk tujuan peperiksaan UPSR. Apabila UPSR dimansuhkan, pengubahsuaian kurikulum mestilah dilakukan supaya dapat disesuaikan dengan konsep PBD. Sebagai contoh, konsep pembelajaran hafalan dan latih tubi sudah tidak sesuai lagi. Murid-murid perlu disediakan kurikulum yang memerlukan mereka melakukan penyelesaian masalah, kreativiti, komunikasi dan kolaborasi. Inilah perkara-perkara baru yang perlu dinilai oleh guru-guru di dalam bilik darjah. Bukan lagi sekali isi kandungan di dalam buku teks.
Seperkara lagi, pemansuhan UPSR membuka peluang untuk pendidikan negara kita memberikan tumpuan kepada pembangunan bakat dan potensi bukan akademik pada awal.usia murid-murid. Oleh itu agenda pembangunan pendidikan bakat murid-murid mestilah dibangunkan oleh KPM melalui aktiviti kokurikulum.
Tetapi kali ini, ko-kurikulum bukan sekadar aktiviti sampingan sahaja di sekolah sebalik mestilah diangkat menjadi sama penting dengan aktiviti pembelajaran di dalam bilik darjah. Murid-murid harus dibangunkan bakat musik, sukan, rekacipta, komunikasi dan berbahasa, seni lukis, fotografi, kepimpinan dan berbagai lagi bakat mengikut kecenderungan murid-murid secara berkesan dan terancang. Ko-kurikulum tidak lagi boleh dilaksanakan sekadar mengisi masa lapang murid-murid seperti sebelum ini.
Dr Anuar Ahmad
Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti
Fakulti Pendidikan UKM