KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2021 dibatalkan sementara Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya.
Menteri Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Jidin berkata, keputusan membatalkan PT3 adalah sama seperti yang diputuskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun lalu.
Menurutnya, bagi pelajar yang ingin memohon kemasukan ke sekolah berasrama penuh perlu menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).
“Pada tahun 2020 PT3 dibatalkan, jadi untuk tujuan kemasukan murid ke asrama bagi tahun 2021 mereka telah menduduki PKSK. Jadi ini keadaannya pada tahun tahun lalu.
“Kemasukan ke sekolah pada tahun hadapan (2022) akan dibuat melalui PKSK, sekiranya ada yang berhasrat untuk ke asrama penuh mereka boleh menduduki PKSP pada tahun ini.
“Antara asas utama yang kita pertimbangkan untuk membuat keputusan membatalkan PT3 bagi tahun ini kerana mengambil kira masa yang ada bagi pelajar membuat persediaan khususnya secara bersemuka bersama guru-guru di sekolah.
“Jika kita lihat keadaan penularan Covid-19 masih belum dapat ditangani sepenuhnya dan kita juga mengambil kira tanpa pelaksanaan PT3 untuk tahun ini, kaedah pentaksiran murid boleh terus dilaksanakan.
“Sama seperti tahun lalu, pentaksiran murid adalah berdasarkan tiga komponen utama iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK). Ini adalah pentaksiran yang kita boleh gunakan untuk tahun 2021,” katanya menerusi Sidang Media Khas Menteri Kanan (Pendidikan) hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohd Radzi turut mengumumkan bahawa UPSR akan dimansuhkan sepenuhnya bermula pada tahun ini.
Katanya lagi, selari dengan pemansuhan UPSR, Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) bagi murid berkeperluan khas juga turut dimansuhkan.
“Di sini kita ingin umumkan satu keputusan yang besar iaitu mulai tahun 2021 UPSR dimansuhkan sepenuhnya.
“Justeru kita akan memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah bermula tahun ini.
“Untuk tahun 2022, kemasukan pelajar tingkatan 1 ke asrama adalah berdasarkan PKSK,” ujarnya. – Malaysia Gazette.