Home Nasional Ibu gagal kawal motosikal, dua anak hanyut jatuh jambatan gantung

Ibu gagal kawal motosikal, dua anak hanyut jatuh jambatan gantung

Pasukan mencari dan menyelamat menjalankan tugas mencari dua beradik yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari jambatan gantung sebelum dihanyutkan arus Sungai Kampung Rekoh di sini semalam.

ROMPIN – Nasib malang menimpa dua beradik yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari jambatan gantung sebelum dihanyutkan arus Sungai Kampung Rekoh di sini semalam.

Pemangku Ketua Balai Daerah Rompin, Asisten Superintendan Mohd Isa Bidin berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pukul 11.15 pagi ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumah di Ladang Peetih.

Mangsa, Dhenis Maulida Putri, 7, merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Keratong 1  dan adiknya, Putri Rama Dhania Azahra Masari, 3, hanyut dibawa arus manakala ibunya terselamat kerana tersangkut di jambatan.

Difahamkan, kedua-dua adik beradik itu membonceng motosikal yang ditunggang ibunya terjatuh ke dalam sungai selepas gagal mengawal motosikal ketika menyeberangi jambatan gantung tersebut.

“Motosikal yang ditunggangi tiga beranak itu hilang keseimbangan dan terbalik di atas jambatan menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh ke dalam sungai,” jelas Mohd Isa dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, polis yang menerima panggilan kira-kira jam 11.20 pagi bergegas ke tempat kejadian sebelum operasi pencarian digerakkan melibatkan pelbagai agensi pada jam 12 tengah hari.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan 30 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dihentikan kira-kira jam 6 petang semalam.

Mangsa bagaimanapun belum ditemui dan SAR akan diteruskan hari ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.