BERLIN – Polis menahan seorang wanita selepas empat individu ditemui mati dan beberapa yang lain cedera parah di sebuah hospital dekat sini.
Jurucakap polis berkata, kematian itu berlaku disebabkan ‘keganasan’ dan seorang suspek berusia 51 tahun dipercayai suspek utama.
Polis tiba di Klinik Oberlin sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada lewat petang.
Berpusat di Potsdam, di ibu kota Brandenburg, Klinik Oberlin adalah sebuah hospital ortopedik khusus dengan 160 katil dan 300 kakitangan, menurut laman webnya.
Setakat ini belum jelas sama ada individu yang maut itu adalah pesakit di klinik berkenaan.
Polis mengatakan mangsa-mangsa “menunjukkan kesan keganasan luar yang ketara”.
Akhbar tempatan Potsdamer Neueste Nachrichten melaporkan mangsa-mangsa adalah pesakit di klinik dan wanita yang ditahan adalah seorang pekerja.
Manakala akhbar Tagesspiegel pula melaporkan jenayah itu berlaku di sebuah unit, yang mana ada seorang individu yang mengalami masalah mental sedang dirawat kerana penyakit otot dan rangka. – MalaysiaGazette