Pemeriksaan terhadap latar belakang penumpang dan kru pesawat Malaysia Airlines MH370 yang tiba-tiba hilang pada tahun 2014 tidak menemukan sebarang petunjuk yang mencurigakan, demikian menurut sumber kepada AFP.
Perancis telah membuka siasatan sendiri terhadap kehilangan pesawat tersebut berikutan empat daripada warga negaranya merupakan penumpang di dalam MH370.
Para penyiasat dan tiga majistret pemeriksa telah bertemu dengan waris empat mangsa tersebut pada Khamis untuk memaklumkan mengenai perkembangan siasatan.
Waris-waris mangsa telah diberitahu mengenai pemeriksaan latar belakang penumpang dan anak kapal oleh agensi penyiasatan domestik Perancis, DGSI yang mendapati keputusannya adalah “negatif”.
Gyslain Wattrelos, yang mana isteri dan dua anaknya berada di dalam pesawat malang itu, mengesahkan maklumat berkenaan.
“Mereka memberitahu kami, siasatan terhadap latar belakang penumpang dan krew tidak menemukan apa-apa,” katanya.
Persoalan mengenai latar belakang penumpang dan anak kapal timbul apabila pihak berkuasa Malaysia mendapati dua penumpang Iran yang berada di dalam pesawat tersebut terbang menggunakan pasport curi.
Bagaimanapun Interpol berkata, kedua-dua warganegara Iran itu mungkin pendatang yang cuba memasuki Eropah.
Dalam satu mesyuarat Khamis lalu, pakar-pakar Perancis turut menyediakan versi terakhir laporan interim yang akan dikeluarkan pada September tetapi menurut peguam Wattrelos, Marie Dose, “tidak banyak maklumat baharu mengenai insiden tersebut”.
Beliau memuji hasil kerja majistret pemeriksa di atas “kerja yang bagus”.-AFP