Home Utama Sedih sudah dua tahun beraya di ibu kota

Sedih sudah dua tahun beraya di ibu kota

Suasana aliran trafik yang sesak sepanjang lebuh raya Karak ini setiap kali perayaan Hari Raya Aidilfitri mungkin tidak berlaku pada tahun ini selepas rentas negeri masih tidak dibenarkan.

KUALA LUMPUR – Sedih dan kecewa. Itu antara perasaan yang diungkap oleh warga kota setelah masuk tahun kedua tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut hari lebaran.

Pekerja swasta, Nik Izni Nik Ismail, 29, amat terkilan kerana sudah lama tidak dapat bertemu dengan ibunya di Kuantan, Pahang.

Selain itu, menurut Nik Izni, kesemua enam adik-beradiknya menetap di negeri yang berlainan, sekali gus menyukarkan mereka untuk menjenguk ibu di kampung.

Nik Izni Nik Ismail

“Perasaan semestinya kecewa kerana kita mengharapkan kes menurun dan semua orang dapat merentas negeri untuk pulang ke kampung. Rindu sangat pada mak di kampung kerana memang dah lama sangat tak balik.

“Berpuasa pun mak sorang-sorang di kampung,nasib baik lah ada jiran-jiran yang dapat jenguk mak, kawan-kawan pun masih ada kat sana yang boleh tengokkan mak dan hantar makanan untuk berbuka puasa.

“Jadi hari raya ini tak tahu lah macam mana, tak boleh nak gambarkan perasaan bagaimana kerana pagi hari raya tak dapat salam dan cium tangan mak.

“Kami ada enam orang adik-beradik tapi tak ada seorang pun yang duduk di Kuantan, semuanya di Kuala Lumpur, Kedah dan Perlis jadi tak boleh nak rentas, tak boleh jumpa adik-beradik.

”Setakat buat panggilan telefon kepada mak memang takkan sama dengan bersua muka sebab dah dua tahun tak dapat beraya bersama-sama,” tuturnya dalam nada sebak.

Sementara itu, bagi pekerja swasta, Farrahiyah Atikah Ahmad Zubir, 33, dia terpaksa redha dengan keputusan tiada pergerakan rentas negeri dibenarkan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang diumumkan kerajaan.

Farrahiyah Atikah Ahmad Zubir

Bagaimanapun Farraihyah berkata, keputusan tersebut adalah untuk kebaikan bersama bagi semua rakyat dalam keadaan wabak Covid-19 yang masih belum surut.

“Tahun ini merupakan tahun kedua kita tak boleh balik beraya dan kekangan ini membuatkan kita berasa sedih. Tapi (keputusan itu) disebabkan kes makin meningkat dan untuk mengelakkan wabak ini semakin teruk kerana apabila ada pergerakan balik kampung maka penularan akan jadi lebih meluas.

“Tambah-tambah sekarang ini melibatkan murid sekolah kerana kita tahun penjarakan fizikal antara mereka tidak dipraktikkan secara betul. Jadi bila kerajaan umumkan lepas raya akan tutup sekolah untuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) itu adalah pilihan yang terbaik.

“Apa pun terpaksa redha sahaja untuk beraya di sini lagi pun memang semua orang tak boleh balik bagi saya adil lah dan untuk kebaikan bersama juga,” ujarnya yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Turut senada, Ali Senin, 32, yang menyifatkan keputusan tidak boleh untuk merentas negeri bagi menyambut Syawal di kampung halaman sebagai wajar terutamanya ketika kes Covid-19 sedang meningkat sejak akhir-akhir ini.

Ali Senin

Baginya, ketetapan yang dibuat oleh kerajaan adalah muktamad walaupun dirinya sendiri amat sedih kerana tidak dapat menjenguk keluarga di Johor dan keluarga mertua di Kedah.

“Perasaan sedih itu memang ada tapi keputusan yang dibuat adalah untuk kesihatan semua rakyat.

“Anak-anak pun ada sebut ajak balik beraya di kampung kerana ketika itulah boleh bawa mereka berjalan-jalan sekali dalam perjalanan dari utara menuju ke selatan, itu memang feel balik kampung yang seronok tapi saya jelaskan pada mereka ketika ini ada wabak Covid-19 jadi anak-anak pun faham. Apa pun kita patut utamakan kesihatan dahulu,” jelasnya.

Seorang pesara kerajaan, Abdullah Mohd Ali, 69, pula berkata, rakyat perlu membiasakan diri dengan suasana pandemik dan normal baharu termasuk larangan kerajaan yang tidak membenarkan rentas negeri.

Abdullah Mohd Ali

“Memang berasa sedih lah kerana tidak dapat beraya dengan keluarga di kampung sudah masuk tahun kedua, jadi kebiasaan sebelum ini telah diubah kepada yang tak biasa kita buat.

“Raya pun suram kerana tak dapat bertemu dengan kaum keluarga yang berada di Melaka,” katanya.

Media melaporkan larangan perjalanan rentas negeri masih tidak dibenarkan, sekali gus orang ramai masih tidak boleh pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perjalanan antara daerah di negeri sama dibenarkan, kecuali di Sabah dan Sarawak. – Malaysia Gazette

1 Komen

  1. yang diWAJIBKAN PUASA RAMADHAN….AIDILFITRI sebagai tanda kesyukuran dan kemenangan sunat…boleh disambut dimana2 baik kampung/bandar/luar negeri…..keutamaan sekarang ialah USAHA mencegah penyakit pandemik covid 19 yang mencanak tidak kira masa dan tempat. Ambil IKTIBAR selepas pelancong CINA masuk bebas pada awal covid bermula…diikuti PRN SABAH dan terbaru kes di INDIA…..FIKIRKAN KELANGSUNGAN FRONTLINER yang bertungkus-lumus 24 jam berbanding KITA yg utamakan keSeronokan SEKETIKA dan akhirnya timbul KESEDIHAN selamanya bila terkena jangkitan..NAUZUBILLAH…..kita juga sebagai FRONTLINER mencegah lebih baik dari MERAWAT

Comments are closed.