KOTA BHARU – Pemilik gerai burger, kedai runcit dan gerai colek yang sebelum ini tular kerana menerima kompaun sebanyak RM50,000 masing-masing, boleh menarik nafas lega apabila nilai kompaun itu dipertimbangkan untuk dikurangkan.
Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan di antara pihaknya bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), semalam.
Beliau berkata, hasil daripada perbincangan tersebut, polis Kelantan akan mengambil tindakan mengikut garis panduan penetapan nilai tawaran kompaun yang ditetapkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
“Merujuk kepada kompaun 26 April 2021, kes tular di media sosial iaitu pemilik gerai burger, kedai runcit dan gerai colek, KKM di Kelantan memaklumkan kesemua pemilik premis ini akan dipertimbangkan kadar kompaun sepertimana dalam garis panduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya untuk kes-kes lain yang dikenakan kompaun bagi individu dan premis sebelum ini, mereka dinasihatkan supaya membuat rayuan kepada JKNK untuk mendapatkan kadar pengurangan kompaun mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Sementara itu, peniaga gerai colek dari Kampung Chekok Tengah yang tular, Mohd Azizi Mohd Nor, 42, ketika dihubungi berkata, dia hanya mampu membayar RM1,000.
“Setakat ini, apa yang bermain di fikiran saya hanyalah ‘masuk jel’ walaupun kesalahan saya bukannya kategori jenayah,” katanya yang belum kembali berniaga selepas isu kompaun itu tular beberapa hari lepas. – MalaysiaGazette