KUALA LUMPUR – Satu laporan polis telah dibuat ke atas seorang netizen yang merakam gambar anggota polis trafik yang tidak memakai pelitup muka selepas berbuka puasa.
Selain itu individu terbabit turut menggunakan kata kesat terhadap anggota polis tersebut dalam akaun Twitter.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya terkesan dengan penularan gambar yang memaparkan seorang anggota Trafik Kuala Lumpur yang sedang bertugas di tempat awam tidak memakai topeng muka di Jalan Tunku Abd Rahman.
Katanya, kejadian berlaku pada Rabu lalu ketika anggota tersebut sedang bertugas mengawal lalulintas di sekitar kawasan pasar malam di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Lorong Tunku Abdul Rahman 7.
“Pada jam lebih kurang 8.00 malam ketika anggota ini baru lepas berbuka puasa bersama lima rakan sekerja yang lain di bawah sebuah khemah di persimpangan Jalan Tuanku Abd Rahman, Jalan Asfahan (berhampiran SOGO).
“Selepas berbuka puasa anggota ini menuju ke motorsikal untuk meneruskan tugasannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zulkefly, gambar tersebut dirakam sebelum anggota polis trafik sempat memakai semula topeng muka dan helmet selepas berbuka puasa untuk meneruskan rondaannya.
Tambah beliau, satu laporan polis telah dibuat oleh anggota berkenaan ke atas individu terbabit kerana cuba menjatuhkan maruahnya dan Polis Diraja Malaysia.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana- mana balai Polis berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan menerima laporan anggota trafik itu.
Tambah beliau, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta kesalahan kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Jelasnya, polis sedang mengesan individu tersebut untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette