KUALA LUMPUR – Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu depan dijangka memutuskan beberapa perkara berkaitan sambutan Hari Raya antaranya prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri dan rentas daerah.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata SOP yang bakal dikeluarkan itu berdasarkan nasihat dan cadangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
“Hari ini Jawatankuasa Teknikal akan berbincang, kemudian ia akan dibentangkan dalam sidang khas MKN pada Isnin ini yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Selepas ia dibentangkan (sidang khas MKN) barulah kami boleh memutuskan sebarang keputusan dan kami akan mendengar pembentangan KKM mengenai nasihat yang akan diberikan,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Program e-Bakat antara Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) bersama Mgate Emerging Technologies Sdn Bhd dan HRD Corp di Kem Kementah, di sini hari ini.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang berkata seramai 12,000 suri rumah kepada anggota tentera disasar menyertai program Bakat untuk menjana pendapatan.
“Mereka akan dilatih untuk membuat produk, memasarkan produk dan menjual produk berkenaan.
“Malah pendekatan yang diambil ini bukan sahaja akan menambahkan sumber pendapatan keluarga mereka secara tidak langsung tetapi ia akan menjadi kerja sampingan untuk anggota tentera yang akan berpencen nanti,” katanya.
Selain itu, ia juga bertujuan memperkasakan mereka melalui pembangunan modal insan yang teratur dan berpotensi tinggi dalam menjana pendapatan tambahan sekeluarga.
— BERNAMA
Rentas daerah nak buat apa? Tak de aidilfitri pun hari 2 rentas daerah pergi kerja…