KUALA LUMPUR – Dua beradik dan seorang ipar antara tiga suspek ditahan dalam satu serbuan Operasi (Op) Cegah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dipercayai terbabit dalam kegiatan penagihan dadah malam tadi.
Dalam serbuan kira-kira pukul 10 malam itu, kesemua suspek ditahan ketika leka menghisap dadah di rumah mereka di Desa Tasik, Sungai Besi, di sini.
Ketua Pegawai AADK Daerah Cheras, Mohd Ridhwan Mohd Rodzmi berkata, suspek yang bertusia antara 27 hingga 38 tahun itu diberkas di dalam bilik rumah mereka.
“Ketika serbuan, ibu suspek yang menghidap kencing manis kronik tidak dapat menahan sebak dan reda dengan apa yang berlaku ketika pasukan AADK Daerah Cheras menahan dua orang anaknya dan menantu di rumah mereka.
“Ketiga-tiga suspek berusia antara 27 hingga 38 tahun dan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.
Tambah Mohd Ridhwan, dalam operasi sama AADK turut menahan beberapa lagi individu yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadahdi lokasi berbeza.
Menurut beliau, pasukannya turut membuat rampasan dadah disyaki syabu seberat 0.4 gram dan menahan dua suspek yang dipercayai memproses serta menjual air ketum di kedai memproses santan kelapa di Taman Ikan Emas, Cheras.
“Sebanyak 40 bungkus plastik lutsinar berisi cecair yang dipercayai mengandungi air ketum dengan anggaran 15.1 liter turut dirampas.
“Kesemua suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSNJD) Cheras dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 (Rawatan dan Pemulihan) Pindaan 1998,” katanya.-MalaysiaGazette