KOTA BHARU – Menjelang musim perayaan, penyeludup mercun dan bunga api mengambil peluang untuk membawa masuk pelbagai jenis bahan terbabit ke negara ini menggunakan ‘laluan tikus’ yang banyak terdapat di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Meskipun terpaksa berhadapan dengan risiko tertangkap, masih ada penyeludup yang berani melakukan ‘tugasan’ itu demi mengaut keuntungan berganda.
Difahamkan, kesukaran mendapatkan mercun dan bunga api di sini berlaku ekoran Op Benteng yang dilaksanakan oleh kerajaan menyebabkan harga bahan itu meningkat sekali ganda.
Menurut Pegawai Pemerintah Medan Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Supt Azhari Nusi, pihaknya sedar dengan keadaan itu dan kesemua anggota diarahkan supaya menggiatkan lagi rondaan di sepanjang sempadan bagi mengesan sebarang pergerakan yang mencurigakan.
Beliau berkata, kegiatan penyeludupan mercun dan bunga api ke sini terbukti dengan dua rampasan yang dilakukan pada semalam, melibatkan mercun dan bunga api bernilai lebih RM20,000.
“Dalam kejadian pertama, anggota pasukan Strike Force telah merampas sejumlah mercun bernilai RM8,622 berhampiran sebuah stesen minyak selepas menahan sebuah kereta Honda Stream pada 5.57 petang.
Sehubungan itu, kesemua barangan termasuk kereta (RM45,000) dianggarkan bernilai RM53,622 telah dirampas dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Azhari berkata, kejayaan kedua dicatatkan selepas anggotanya merampas sejumlah 202 kotak mercun bernilai RM11,600 yang ditinggalkan di dalam sebuah kereta jenis Inocom Matrix di Kampung Lanchang dekat Rantau Panjang, Pasir Mas pada 10.06 malam.
“Kesemua barangan bernilai RM18,600 termasuk kereta (RM7,000) diserahkan kepada Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan maklumat dalam dua kes ini mercun dan bunga api yang dirampas adalah untuk pasaran di Bachok dan sekitar Pasir Mas. – Bernama