PONTIAN – Pengambilalihan Malaysia menggantikan Vietnam untuk menggalas jawatan Pengarah Eksekutif Komuniti Lada Antarabangsa (IPC) bagi tempoh tiga tahun bermula 5 Mei ini, diyakini memberi peluang kepada negara untuk menerokai pasaran baharu.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, ini sekali gus mengeratkan lagi hubungan diplomatik antara negara-negara.
“Bila kita menjadi Pengarah Eksekutif, maka kita boleh buat perancangan dan kebaikan dalam menentukan polisi serta membawa manfaat kepada negara.
“Sudah tentu kita juga dapat teroka pasaran baru dan dapat hubungan diplomasi baik dengan semua negara yang kita dekati… ini juga cara terbaik untuk kita promosi dan bawa kebaikan serta manfaat untuk sektor ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Prihatin Rakyat Parlimen Tanjung Piai, di sini hari ini.
Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai Malaysia bakal mengambilalih giliran Vietnam pada 5 Mei ini untuk menjadi Pengarah Eksekutif IPC yang beribu pejabat di Jakarta, Indonesia.
Semalam, MPIC menerusi kenyataannya memberitahu, Pegawai Kementerian PerusahaanPerladangan dan Komoditi (KPPK), Firna Azura Ekaputri Marzuki dipilih mewakili Malaysia sebagai Pengarah Eksekutif IPC secara pinjaman bagi tempoh tiga tahun.
Menurut kenyataan itu, IPC diterajui Pengarah Eksekutif yang dianggotai oleh lima buah negara iaitu Malaysia, Sri Lanka, Vietnam, India dan Indonesia, manakala Papua New Guinea dan Filipina pula merupakan ahli bersekutu.
Sementara itu, Jeck Seng turut menyentuh mengenai Program Prihatin Rakyat yang mana pihaknya turut memberi sumbangan sebanyak 160 helai jubah kepada imam dan pembantu dengan melibatkan 42 masjid dan 74 surau.
Sumbangan itu menurut beliau merupakan aktiviti tahunan pihaknya dalam membantu penduduk di bawah kawasan Parlimennya.
Beliau pada masa sama menjelaskan, akan memberi bantuan tuisyen atas talian secara percuma kepada semua pelajar tingkatan lima di kawasannya bermula Jun depan.
“Pendidikan yang secukupnya dan berkualiti amat penting untuk membantu generasi kita dapat pekerjaan lebih baik dan pendapatan yang lebih.
“Justeru itu kita akan bantu yang mana ia akan melibatkan semua sekolah di bawah Parlimen dengan jumlah pelajar kira-kira seramai 1,300 orang,” katanya. – MalaysiaGazette