Home Dunia Lebih 90 orang duduk dalam satu rumah

Lebih 90 orang duduk dalam satu rumah

HOUSTON – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menemui sebuah rumah dua tingkat di Houston yang dipenuhi lebih 90 orang dipercayai mangsa penyeludupan.

Penolong Ketua Polis, DB Edwards berkata, pihaknya menerima laporan penculikan di lokasi tersebut sebelum menemui kumpulan tersebut .

Jelas DB, pihaknya pasti ia merupakan kes penyeludupan manusia.

“Kami terkejut apabila melihat keadaan rumah itu. Polis temui lebih 90 orang, lima daripadanya adalah wanita tetapi tidak ada kanak-kanak dalam kumpulan itu.

“Kes ini kita lihat lebih kepada penyeludupan manusia dan bukannya pemerdagangan manusia,” katanya kepada media hari ini.

Jelas DB, polis belum dapat memastikan adakah mereka dihantar untuk melakukan kerja tertentu atau buruh kasar.

“Tapi kebanyakan mereka yang kita temui ini mempunyai simptom Covid-19 dan akan dikuarantin dulu,” ujarnya.

Walaupun polis dapat memberikan perincian tentang penemuan ini namun sempadan Texas-Mexico memang tidak asing sebagai laluan untuk pendatang asing tanpa izin ke Amerika Syarikat. -MalaysiaGazette