KONSEP Hospital Mesra Ibadah dan Patuh Syariah telah lama diperkenalkan di Malaysia.
Konsep Hospital Patuh Syariah merangkumi semua aspek pentadbiran, kewangan,
pengurusan dan rawatan pesakit dimana tidak banyak hospital yang mampu untuk mendapat pengiktirafan ini. Namun begitu telah banyak hospital kerajaan yang diiktiraf sebagai Hospital Mesra Ibadah dengan memberi kemudahan kepada pesakit untuk terus menjalankan ibadat terutamanya solat walaupun dalam keadaan sakit.
Sayangnya masih ramai pesakit yang tidak menggunakan kemudahan ini dan tidak tahu
adanya rukhsah untuk seorang yang sakit bagi meneruskan ibadat. Malah ramai juga yang tiada pengetahuan tentang kewajipan menunaikan ibadah terutamanya solat 5 waktu yang tidak akan terlepas kecuali dengan kematian atau hilangnya kewarasan. Maka walau apa bentuk penyakit yang dihidapi, selagi bernyawa dan sihatnya akal pesakit tersebut, kewajipan beribadat tidak akan terlepas.
Islam telah memberi kelonggaran kepada pesakit-pesakit untuk melakukan solat mengikut kemampuan yang ada pada mereka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “solatlah kamu dengan cara berdiri, jika tidak mampu hendaklah kamu duduk, jika tidak mampu juga hendaklah solat secara berbaring atau tidur terlentang. “ (Hadis Riwayat Jemaah dan an-Nasai). Di hospital-hospital yang telah diiktiraf sebagai Hospital Mesra Ibadah, pelbagai kemudahan telah disediakan seperti alat untuk spray wuduk dan alat bertayamum bersama dengan panduan solat lengkap.
JAKIM juga telah meletakkan seorang pegawai agama di hospital-hospital ini bagi membantu dan memantau serta memberi latihan kepada staf kesihatan tentang tatacara ibadat kepada pesakit. Malah panduan-panduan ini juga dengan mudahnya boleh didapati secara atas talian dengan mudahnya. Walau bagaimanapun masih ramai pesakit yang masuk ke hospital tidak tahu akan kemudahan ini dan terus mengabaikan solat mereka dengan alasan mereka sedang sakit.
Kebanyakan daripada mereka memberikan alasan bahawa mereka kotor dengan darah, najis dan pelbagai jenis tiub yang dipasang. Ada juga yang memberi alasan mereka tidak boleh mengambil wuduk kerana kaki atau tangan berbalut. Apabila ditanya, jawapan yang selalu diberikan adalah mereka akan menqada’ solat apabila telah sembuh dan keluar dari hospital. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak tahu wujudnya rukhsah untuk pesakit dan bagaimana kewajipan bersolat itu masih ada walaupun dalam keadaan sakit.
Bagaimana jika mereka tidak ditakdirkan sembuh atau Allah ambil nyawa sebelum sempat mengqada’ solat yang ditinggalkan itu? Untuk pesakit yang masuk ke dalam wad, hanya yang hilang kewarasan seperti kecederaan otak, jangkitan kuman yang teruk hingga tidak sedar atau apa sahaja penyakit yang menyebabkan otaknya tidak berfungsi seperti strok (bukan semua), darah tinggi hingga berdarah pada otak dan jangkitan kuman pada otak.
Termasuk juga pesakit yang terpaksa dimasukkan tiub pernafasan dan diberi ubat tidur kerana keperluan rawatan. Pesakit-pesakit jenis yang lain yang masih waras masih wajib mengerjakan solat dengan pelbagai rukhsah dan kemudahan yang disediakan.
Contoh pesakit yang dijadualkan untuk pembedahan pada pukul 1 petang dan jangkaan masa pembedahan selama 3 atau 4 jam.
Dia tidak sempat menunaikan solat zuhur sebelum ditolak ke dewan bedah, maka dia boleh berniat jamak takhir bersama solat asar selepas habis pembedahan. Kebiasaanya ubat bius kesannya adalah mengikut masa pembedahan, namun adakalanya bagi sesetengah orang kesannya berpanjangan selama 1 atau 2 jam lagi kerana kesan tindak balas badan yang tidak sama terutamanya pada orang yang berusia dan fungsi buah pinggang yang kurang baik. Mungkin akan ada juga tiub kencing, drain (saluran), nasogastric tube (tiub pada hidung atau mulut), tampalan plaster di sana sini, namun ini semua bukan penghalang atau menjatuhkan kewajipan bersolat.
Apabila pesakit sudah sedar dari kesan ubat bius mereka patut menunaikan solat ikut kemampuan mereka (berdiri, duduk atau baring). Kaum keluarga yang melawat atau menjaga pesakit juga hendaklah memainkan peranan untuk membantu pesakit terus menunaikan kewajipan sama ada membantu mengambil wuduk atau tayamum, menolak kerusi roda ke tandas, membantu membersihkan najis setakat dibolehkan oleh rawatan penyakit berkaitan, menutup aurat sesempurna yang boleh terutama untuk kaum wanita dan menyediakan tempat untuk solat walaupun hanya di atas katil pesakit
sendiri.
Tidak boleh menyerahkan urusan ini kepada jururawat atau doktor bertugas kerana
mereka ada tugasan lain yang tidak kurang pentingnya kecuali untuk yang tiada kaum
keluarga. Pesakit yang mempunyai tiub kencing atau beg stoma di badannya adalah antara sebab yang kerap dijadikan alasan untuk tidak menunaikan solat. Biasanya ianya diletakkan hanya sementara tetapi ada juga keadaan yang mana tiub dan beg ini akan berada bersama pesakit selama-lamanya. Maka bilakah mereka boleh mengqada’ solat mereka?
Satu lagi kesilapan tentang solat yang sering berlaku adalah kepada wanita yang hampir
melahirkan anak. Apabila keluar air jernih dari kemaluan (air ketuban) atau tanda merah
(show- darah bersama lendir menandakan permulaan proses bersalin) wanita tersebut masih perlu menunaikan solat dalam keadaan yang dia mampu melakukannya. Haram solat hanya apabila keluar darah selepas bersalin atau keluarnya anak. Tugas suami yang kini dibenarkan menemankan isteri semasa bersalin bukanlah hanya memberi sokongan emosi, tetapi juga memastikan isteri yang sedang sakit tidak terlepas kewajipannya menunaikan ibadah kerana selepas itu isteri tersebut akan bertarung dengan nyawa bagi melahirkan zuriatnya.
Kini apabila tiba bulan Ramadhan, timbul pula persoalan tentang ibadah wajib kedua iaitu
berpuasa. Bukan semua pesakit tidak boleh berpuasa dan bukan semua prosedur dan ubat yang diberikan kepada pesakit membatalkan puasa. Menurut kata YB Datuk Haji Ahmad Marzuk Bin Shaary dalam bicara tentang hukum prosedur di bulan Ramadhan, walaupun terdapat beberapa pendapat tentang hukum prosedur atau alat yang dimasukkan ke dalam rongga untuk tujuan perubatan, pendapat ulamak kontemporari yang mengambil kira keadaan semasa, banyak prosedur yang tidak membatalkan puasa.
Beliau berpendapat jika sesuatu alat dimasukkan dan tiada penyerapan di bahagian perut dan bukan tujuan mengenyangkan, maka puasa boleh diteruskan. Prosedur seperti memasukkan kamera ke dalam esofagus dan perut OGDS (tanpa air), memasukkan kamera ke dalam usus melalui dubur (colonoscopy), memasukkan air atau ubat ke dalam salur darah , ubat ke dalam dubur atau vagina dan ubat asthma (inhaler) tidak membatalkan puasa.
Apatah lagi jika ianya berlaku kepada pesakit yang tiada harapan sembuh, adalah lebih baik jika dia meneruskan puasanya kerana tidak dapat dipastikan jika pesakit tersebut boleh menggantinya di bulan yang lain. Selain itu berpuasa di bulan ramadhan lebih banyak fadhilat dan ganjarannya.
Firman Allah dalam surah Al-Imran: 185 “ Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesusahan. “Islam itu mudah tapi bukan untuk dimudah-mudahkan sewenang-wenangnya”. Kewajipan menunaikan ibadat adalah
tanggungjawab kita dan seharusnya dijaga walau kita dalam keadaan sakit sekalipun. Tidak ada gunanya jika hospital diiktiraf sebagai mesra ibadah atau patuh Syariah sekalipun, jika pesakit yang masuk tidak mahu melaksanakan ibadah tersebut.
Oleh: Dr (Ms) Afizah Salleh,
Pakar perunding Pembedahan Am
Hospital Pakar Annur,
Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)