SETIAP pekerja harus dihormati dan dihargai dan ini termasuklah pekerja asing yang telah sekian lama menyumbang jasa bekerja dalam negara kita. Pekerja asing perlu dilayan dengan baik dan adil sama seperti pekerja yang lain. Pekerja asing tidak boleh dilayan dengan berbeza atau seperti seorang hamba abdi.
Pekerja asing adalah terdiri daripada individu yang datang bekerja di sesebuah negara selain daripada negara asal mereka. Buat sekian lama, Malaysia telah menjadi tarikan orang luar untuk datang dan mencari rezeki bagi menampung kehidupan mereka dan keluarga mereka. Pekerja asing yang ada dalam negara kita datang daripada pelbagai negara seperti Indonesia, Bangladesh, Filipina, India, Pakistan, Nepal dan lain- lain lagi.
Pekerja asing yang datang ke Malaysia berkerja dipelbagai jenis sektor pekerjaan. Ada yang bekerja disektor profesional secara kontrak dan ada yang bekerja di sektor 3D iaitu sektor kotor, bahaya dan rumit, yang mana kurangnya tenaga pekerja tempatan yang berminat untuk berkerja disektor pekerjaan berkenaan.
Walau dimana sektor pekerja asing ini datang untuk bekerja, adalah penting supaya hak mereka dihormati dan dilindungi
pada setiap masa. Artikel 23 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 jelas menyatakan bahawa setiap orang ada hak untuk bekerja, bebas mencari pekerjaan yang diingini oleh mereka, bekerja dalam suasana yang baik dan adil serta dilindungi daripada pengangguran. Artikel 23 berkenaan juga menyatakan bahawa setiap orang memiliki hak untuk menerima upah yang sama tanpa sebarang diskriminasi, menerima jumlah pendapatan yang sesuai bagi menampung kehidupan dirinya, menampung keluarganya
serta berhak untuk mendapatkan perlindungan sosial.
Artikel 23 ini juga memperuntukkan hak setiap pekerja untuk membentuk dan menyertai persatuan pekerja bagi melindungi hak mereka sebagai seorang pekerja. Artikel 23 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 ini bukan sahaja terpakai kepada pekerja tempatan malah turut terpakai kepada pekerja asing. Setiap manusia berhak untuk mendapatkan pekerjaan sama ada dalam negara mereka sendiri ataupun di negara lain.
Setiap manusia juga berhak untuk mendapatkan perlindungan bagi melindungi hak dan kebajikan mereka sebagai seorang pekerja di negara-negara yang mereka bekerja. Agak sedih untuk mendengar berita pekerja asing dalam negara kita yang terpaksa mengharungi pelbagai jenis salah laku daripada majikan mereka sendiri serta persepsi negatif daripada masyarakat sekeliling. Antara masalah yang dihadapi oleh pekerja asing ini meliputi masalah penipuan, eksploitasi, penderaan, kemalangan di tempat kerja, pendedahan kepada kekotoran dan risiko penyakit serta penafian hak untuk menerima perlindungan.
Segala masalah berbangkit ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap reputasi negara kita dimata dunia. Adalah penting supaya setiap pekerja asing dalam negara kita menerima perlindungan yang sewajarnya sama seperti orang lain. Perkara 6 (1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa “Tiada seorang pun boleh ditahan sebagai abdi”.
Perkara 6 (2) Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan “Segala bentuk kerja paksa adalah dilarang”. Perkataan “Tiada seorang pun” yang digunakan didalam Perkara 6 (1) Perlembagan Persekutuan ini bukan sahaja terhad terhadap pekerja tempatan malah turut meliputi pekerja asing. Kita tidak boleh melayan pekerja asing sebagai hamba abdi serta memaksa mereka melakukan sebarang jenis pekerjaan yang mereka tidak suka.
Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan juga jelas menyatakan bahawa “Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang”. Perkataan “Semua orang” yang digunakan didalam Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan ini merujuk kepada pekerja asing juga. Oleh itu, sebarang jenis salah laku atau penganiayaan yang dilakukan terhadap pekerja asing adalah dilarang sama sekali dalam negara kita.
Tindakan undang-undang yang sewajarnya boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan sebarang salah laku atau penganiayaan terhadap pekerja asing. Pekerja asing yang bekerja dalam negara kita juga memiliki hak untuk dapatkan perlindungi serta pampasan melalui peruntukan undang-undang yang ada seperti Akta Kerja 1955 [Akta 265], Akta Perhubungan Industri 1967 [Akta 177], Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 [Akta 514], dan lain lain lagi. Pendakwaan jenayah dibawah Kanun Keseksaan [Akta 574] juga boleh dilakukan terhadap mana-mana pihak yang melakukan sebarang jenis perbuatan jenayah terhadap pekerja asing dalam negara kita ini seperti penderaan, pengurungan, dan serangan berbentuk fizikal ataupun seksual.
Sudah tiba masanya juga Malaysia melihat dan menilai keadaan semua pekerja asing yang tinggal dalam negara kita. Pendedahan demi pendedahan oleh media sebelum ini banyak memaparkan keadaan penginapan pekerja asing ini yang sangat teruk sehingga menjadi faktor utama kepada penyebaran pelbagai jenis penyakit berjangkit termasuklah Covid-19. Langkah pertama yang perlu kita ambil adalah dengan memberi pendedahan dan pendidikan kepada semua pekerja asing mengenai hak mereka sepanjang
mereka bekerja dan berada dalam negara ini.
Semua pekerja asing yang bekerja dalam negara kita ini juga perlu dimaklumkan mengenai kewujudan pelbagai jenis badan dan pertubuhan sukarela yang boleh menghulurkan bantuan segera kepada diri mereka. Malaysia juga perlu melihat kembali kriteria dalam meluluskan hak sebuah syarikat untuk mengambil pekerja asing. Sebagai contoh, menilai dengan teliti rekod lampau syarikat- syarikat berkenaan, kemampuan syarikat-syarikat ini untuk menyediakan penginapan yang baik serta melaksanakan proses pemeriksaan kesihatan secara kerap setiap tahun terhadap pekerja asing mereka.
Kita juga harus mendidik setiap rakyat Malaysia untuk menghormati semua manusia tanpa membezakan latar belakang mereka serta menghentikan persepsi negatif terhadap pekerja asing. Hanya kerana pekerja asing ini tidak boleh bertutur dalam
bahasa yang sama ataupun mempunyai budaya yang sama dengan kita ianya tidak bermakna kita boleh melayan mereka dengan buruk serta memandang rendah terhadap diri mereka.
Realitinya, kita masih mempunyai pekerja asing yang tinggal dalam keadaan yang sangat teruk akibat daripada sikap acuh tidak acuh yang dilakukan oleh sesetengah majikan dan syarikat yang tidak bertanggungjawab semata- mata bagi menjimatkan kos serta mendapatkan keuntungan yang lebih. Kita sebagai rakyat Malaysia kena bersama- sama dan memberi tekanan kepada majikan dan syarikat yang tidak bertanggungjawab terbabit. Jika tidak, kita mungkin akan melihat kemunculan banyak perhambaan zaman moden berlaku dalam negara kita. Kita tidak boleh biarkan perkara sebegini berlaku.
Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor MadyaFakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) &
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Ahli Parlimen Muar