Home Politik BN jangan calonkan semula YB ‘hilang’ selepas PRU-13

BN jangan calonkan semula YB ‘hilang’ selepas PRU-13

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao. foto IQBAL BASRI, 30 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) memohon kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) supaya tidak mencalonkan semula individu yang ‘menghilangkan diri’ selepas PRU-13.

Presiden PMSP, Ramesh Rao berkata, lepas bagi mengelakkan rakyat hilang keyakinan.

Menurutnya,  kredibiliti BN semakin buruk jika terus mencalonkan mereka yang menghilangkan diri dari kawasan yang diwakili selepas menang.

“Ini bukan ciri-ciri pemimpin dan wakil rakyat yang boleh berbakti kepada para pengundi kerana tidak turun padang dan tidak kelihatan langsung di kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri mereka.

“Jika begini prestasi mereka, pucuk pimpinan BN diharap tidak mencalonkan mereka sekali lagi pada PRU14 nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramesh berkata, masih ramai lagi calon berpotensi dan pemimpin berkualiti di seluruh kawasan Parlimen dan DUN untuk diketengahkan sebagai calon dalam pilihan raya mewakili parti.

Mereka mampu untuk sentiasa ada di kawasan yang diwakili mendengar masalah rakyat seperti majoriti wakil rakyat BN yang menjadikan parti itu terus dipilih pengundi dalam pilihan raya.

“Calon-calon berpotensi ini biasanya sudah bersedia untuk menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik dan cemerlang semata-mata demi rakyat tanpa ada agenda politik tersembunyi,” katanya.

Beliau berharap perkara itu akan diberi perhatian oleh BN kerana ia bakal menguatkan lagi prestasi BN dalam menghadapi PRU14 dan untuk mendapatkan kembali kemenangan dengan majoriti dua pertiga. – MalaysiaGazette