Home Dunia Lebih 100 juta penduduk AS sudah terima vaksin penuh

Lebih 100 juta penduduk AS sudah terima vaksin penuh

Seorang kakitangan perubatan menyediakan vaksin Pfizer-BioNTech di pusat vaksinasi pandu lalu di Strawberry Festival Fairgrounds di Plant City, Florida. foto Reuters

WASHINGTON – Lebih daripada 100 juta orang penduduk dewasa Amerika Syarikat (AS) telah diberi vaksin Covid-19 sepenuhnya, menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Ia merangkumi 30.5 peratus populasi AS.

Lebih daripada 144 juta orang penduduk AS menerima sekurang-kurangnya satu suntikan Covid-19, yang merangkumi 43.6 peratus penduduk, tambah CDC.

Jumlah itu termasuk lebih daripada 37 juta adalah orang yang berumur 65 tahun atau lebih, menyumbang 68.8 peratus.

Kira-kira 240 juta pengambilan vaksin Covid-19 telah diberikan di seluruh negara pada hari Sabtu, sementara lebih daripada 308 juta dos vaksin Covid-19 telah diedarkan, menurut data CDC.

Presiden Joe Biden telah menetapkan sasaran untuk mencapai 200 juta suntikan vaksin Covid-19 pada akhir bulan April.

AS juga telah meningkatkan pelancaran vaksinasi sejak Disember lalu.

Sebanyak tiga vaksin Covid-19 dibenarkan untuk penggunaan kecemasan di negara ini.

Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) membenarkan penggunaan vaksin Pfizer yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat Jerman, BioNTech dan satu lagi oleh pembuat ubat AS, Moderna pada bulan Disember tahun lalu.

Vaksin Covid-19 Johnson & Johnson juga telah diluluskan untuk penggunaan kecemasan pada 27 Februari.

Ia adalah vaksin Covid-19 dos tunggal pertama yang terdapat di Amerika Syarikat.

Menurut data CDC, pada masa ini sejumlah 127 juta dos Pfizer/BioNTech dan 104 juta dos Moderna serta 8.2 juta suntikan Johnson & Johnson telah diberikan. – MalaysiaGazette