JOHOR BAHRU – Lebih 800 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung halaman masing-masing setakat ini susulan keputusan kerajaan membenarkan pelajar pulang sempena Hari Raya Aidilfitri.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Prof Dr Shamsul Sahibuddin berkata, angka itu diperolehi berdasarkan pengisian borang khas disediakan, meliputi kira-kira 25 peratus daripada 3,200 pelajar yang berada dalam kampus.
Ekoran itu, menurut beliau pihak universiti melalui Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) bersama UTM Fleet sedang menguruskan maklumat dan data pelajar yang memerlukan kemudahan pengangkutan.
Khamis lepas Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan lebih 100,000 pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh negara dibenarkan pulang ke kampung sempena cuti Aidilfitri, kecuali bagi Sarawak, dan beberapa mekanisme telah ditetapkan termasuk melaksanakannya secara berfasa bagi mengawal pergerakan. – MalaysiaGazette