KOTA BHARU – Kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan Undi 18 dalam masa terdekat pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata, ketika ini, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih meneliti beberapa perkara sebelum dimuktamadkan dan menjangkakan ia dapat dilaksanakan Julai ini sekali gus akan membolehkan rakyat Malaysia berumur 18 tahun mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
“Bagaimanapun, saya tidak boleh memberi jangka masa yang tepat tetapi yang pasti dalam tahun ini juga. Kalau boleh buat Julai ini, kita akan buat,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Program Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri kepada imam-imam masjid Jumaat, halaqat dan penghulu bagi Parlimen Kota Bharu, di sini hari ini.
“Itu memang menjadi hasrat kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk kerajaan memberikan hak kepada rakyat kita yang berumur 18 tahun mengundi dan menentukan kepimpinan negara kita,” katanya.
Menyentuh soal mengapa Undi 18 perlu mengambil masa sebelum dilaksanakan, beliau berkata, banyak perkara perlu diambil kira khususnya aspek perundangan.
“Namun, SPR akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan isu berkaitan perundangan ini. Keduanya pula, isu teknikal juga perlu diambil tindakan oleh kerajaan terutamanya oleh SPR kerana apabila dibuka (undi 18 tahun) maka bilangan (pengundi) akan bertambah sekali gus perlu tambah baik perisian dan sebagainya,” katanya.
Ditanya mengenai kepentingan untuk meminda Perlembagaan berkenaan, Takiyuddin menjelaskan kebanyakan negara sudah mengamalkan minimum 18 tahun sebagai pengundi dan undang-undang di negara ini juga menggariskan usia berkenaan sebagai ‘age of maturity’. – MalaysiaGazette