JOHOR BAHRU- Sebanyak 16 lagi sekolah di Johor diarah tutup hari ini berikutan terdapat kes positif Covid-19, menjadikan keseluruhan 40 sekolah di Johor ditutup setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang dalam kenyataannya memberitahu, tiga sekolah lagi telah diberikan notis tutup sementara semalam atas alasan yang sama.
“Sejumlah 19 sekolah di negeri ini diberikan notis tutup sementara tiga arahan dikeluarkan semalam, manakala 16 lagi hari ini.
“Arahan itu telah dikeluarkan sendiri Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Pejabat Kesihatan Daerah kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi membolehkan penilaian risiko, pengesanan kontak rapat serta proses disinfeksi dilakukan.
“Ia menjadikan sekolah yang ditutup di Johor setakat ini adalah 40 sekolah, manakala tiga lagi sekolah yang diarahkan tutup sementara, dibenarkan beroperasi hari ini selepas pemeriksaan lanjut Pejabat Kesihatan Daerah, ” katanya di sini.
Hampir 40 sekolah di Johor diarah tutup secara berperingkat-peringkat sejak bulan lalu berikutan terdapat kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan kakitangan dan pelajar.
Setakat ini, kira-kira 49,000 guru di negeri ini sudah selesai menerima vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula 17 April lalu.- MalaysiaGazette