KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang berusaha keras ke arah menyelesaikan permasalahan berkaitan pandemik COVID-19 yang memiliki kesan dan impak jauh lebih dahsyat berbanding krisis mata wang pada 1998 serta krisis ekonomi pada 2008 yang dihadapi negara sebelum ini.
Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata beliau yakin banyak pihak dapat melihat keazaman, sikap kesegeraan serta keikhlasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membantu rakyat dan mengeluarkan negara daripada belenggu COVID-19.
“Isu pentingnya bukan soal ‘mampu atau tidak’ tapi yang lebih penting ialah soal ‘bila semua ini akan selesai? Krisis pada 1998 dan 2008 tidak pernah menghentikan sama sekali enjin ekonomi.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata adalah wajar untuk semua pihak memberi sokongan kepada kerajaan dalam mendepani COVID-19, antara lain menerusi peranan media memberi pandangan supaya kerajaan boleh melakukan sesuatu yang lebih baik.
“Semua dan setiap seorang daripada kita, baik orang politik atau orang media, kita perlu bertindak pantas dan dengan lebih baik. Kalau ada jawatan dalam kerajaan, kita kena gunakan ‘jawatan’ dan kedudukan kita untuk membantu rakyat. Bantu Perdana Menteri. Bekerja sebagai satu pasukan.
Terdahulu, lebih 200 pengamal media yang menghadiri majlis itu berpeluang menonton video raya bertajuk ‘Aku Peja’ hasil cetusan idea Ahmad Faizal sendiri, yang lebih dikenali sebagai Peja.
Ia memaparkan kisah semangat kekeluargaan, kasih sayang, kesungguhan dan semangat ketika berhadapan cabaran serta tradisi lama orang dahulu menyambut Aidilfitri, yang juga boleh ditonton menerusi media sosial beliau.
Ahmad Faizal juga berkata penghasilan video itu merupakan usaha sama beliau dengan rakan industri kreatif yang turut berdepan situasi sukar akibat COVID-19.- BERNAMA