KUALA LUMPUR – Polis mendapati sebanyak 23 laporan polis palsu dibuat sejak 1 Januari hingga 27 April 2021 berkenaan kehilangan MyKad untuk mengelakkan penalti.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharuddin Abdullah berkata, laporan polis dibuat atas dakwaan dirompak sehingga menyebabkan kehilangan harta benda serta MyKad.
Menurutnya, sebanyak 14 daripada 23 kes telah dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan, manakala sembilan lagi masih dalam siasatan.
Pertuduhan kes di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-dua dan Peraturan 25(1)(N) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
“Setelah siasatan dijalankan mendapati laporan polis tersebut adalah palsu yang dibuat semata-mata bagi mengelakkan dikenakan penalti oleh jabatan Pendaftaran Nergara (JPN) seperti denda RM100 untuk kehilangan kali pertama, RM300 (kehilangan kali kedua) dan RM1,000 untuk kehilangan kali ketiga dan seterusnya,” katanya menerusi kenyataan.
Justeru Shaharuddin, menggesa orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu bagi melindungi perbuatan salah yang dilakukan.
Tambah beliau, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana orang yang didapati membuat laporan polis di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa.-Malaysiagazette