Home Nasional ‘Saya akan terus berjuang dengan PDRM dengan cara sendiri, InsyaAllah’ – Abdul...

‘Saya akan terus berjuang dengan PDRM dengan cara sendiri, InsyaAllah’ – Abdul Hamid

Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Hamid Bador akan berjuang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan cara sendiri walaupun beliau bukan lagi Ketua Polis Negara (KPN).

Menurutnya, hatinya gusar untuk meninggalkan PDRM yang masih bergelut dengan konflik persepsi dan terus dihukum menerusi pendapat umum.

“Meskipun saya bakal kembali ke dunia persaraan selepas ini, saya akan terus berjuang dengan PDRM dengan cara sendiri, InsyaAllah

“Selagi nyawa dikandung badan, darah Sang Saka Biru yang sudah sebati dalam diri saya akan terus mengalir dalam tubuh ini sehingga nafas terakhir saya terhenti,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman, di sini, hari ini.

Majlis tersebut disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohd Said.

Dalam menangkis konflik persepsi, Abdul Hamid menggesa anggota dan pegawai PDRM memikul tanggungjawab dengan amanah untuk memartabatkan semula imej polis.

“Ya, kita tak mungkin memuaskan hati lebih 32 juta rakyat negara ini tapi kita mampu berusaha meningkatkan kualiti penyampaian kepada mereka serta sentiasa berpegang kepada amar makruf dan nahi mungkar

“Laksanakanlah setiap tugas penuh ikhlas dan berintegriti,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, beliau tidak menyangka perjalanan kerjayanya dalam pasukan keselamatan yang bermula pada 1979 akan berakhir selepas mengharungi perjalanan yang jauh.

“Diketahui umum bahawa saya pernah meninggalkan pasukan untuk bersara pilihan selepas hampir tiga tahun jadi orang awam dan dipanggil semula pada 3 Mei 2019 dan kini tiba masa berundur diri selepas empat dekad dalam PDRM,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, beliau yakin penggantinya mampu memberi perkhidmatan cemerlang dan mengharungi cabaran mendatang.

“Saya ingin ucap syabas kepada Acryl Sani atas pelantikan sebagai Ketua Polis Negara baharu dan ini adalah satu titik permulaan iaitu suatu amanah dan tanggungjawab jauh lebih besar yang akan menuntut tanggungjawab dan komitmen tinggi lepas ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette