KUALA LUMPUR – Mufti Perlis Datuk Dr Mohd. Asri Zainul Abidin berpendapat, keperluan menziarahi ibu bapa mengatasi keperluan yang lain.
Menerusi hantaran di Twitter miliknya, beliau berkata, ia termasuk melebihi keperluan memenuhi undangan artis.
“Saya rasa jika hendak dibandingkan pasti keperluan menziarahi ibu bapa melebihi dari keperluan memenuhi undangan artis,” tulisnya.
Namun tidak dapat dipastikan hantaran Mohd. Asri itu ditujukan kepada sesiapa.
Hari ini, penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjelaskan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku melibatkan seorang pendakwah bebas dari negeri lain sebagai tetamu pada majlis tahnik anak keduanya baru-baru ini.
Sebaliknya Siti berkata, individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan.
Tambahnya, mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka.
“Sebaliknya beliau hanya singgah bagi menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sahaja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.
“Sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka dengan situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini dan selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- MalaysiaGazette