Home Nasional Kerajaan perluas beri vaksin AstraZeneca secara sukarela

Kerajaan perluas beri vaksin AstraZeneca secara sukarela

Sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperluaskan lagi pemberian vaksin AstraZeneca secara sukarela ke seluruh negara yang dibuka semalam.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, berdasarkan pendaftaran, semua 268,800 dos vaksin itu ditempah dalam tempoh tiga jam semalam.

Menurutnya, Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) menjangkakan lebih banyak vaksin jenis AstraZeneca tiba pada bulan akan datang, namun sejumlah 1.1 juta tempahan kedua dari fasiliti Covax akan diperoleh bulan ini.

“Program pertama yang dibuka semalam hanya untuk Selangor dan Kuala Lumpur tetapi saya menyedari ia memberi cabaran kepada mereka yang tidak mempunyai akses kepada internet dan laman sesawang yang dinyatakan.

“Pada masa depan, kami akan mengambil kira mereka yang tidak mempunyai akses ini dan mendekati klinik komuniti bagi memastikan vaksin ini dapat ditawarkan secara sukarela,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.

Turut serta pada sidang media itu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Khairy berkata, penawaran secara sukarela bagi vaksin jenis itu dibuat selepas pihaknya mendapati seramai 8,000 individu mendaftar untuk mendapatkan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ujarnya, ada juga yang tidak hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) untuk menerima suntikan masing-masing selepas mengetahui perkara itu.

“Selepas kerajaan mengumumkan pemberian AstraZeneca dibuat secara sukarela, sehingga 80 peratus mereka yang membatalkan pendaftaran kembali mendaftar melalui PICK.

“JKJAV akan menilai semua pembatalan itu dengan mendalam dan laporannya akan diumumkan kelak,” tambahnya. – MalaysiaGazette