KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka tidak akan mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang dijadual pada 6 Mei ini, demikian menurut OCBC Bank.
Ahli ekonominya Wellian Wiranto berkata, kadar itu dikekalkan pada 1.75 peratus semasa kemunculan semula penularan virus sebelumnya, iaitu pada Januari 2021.
BNM mengekalkan kadar semasa – tahap terendah sepanjang masa 1.75 peratus – sejak 10 September tahun lepas.
“Hospital di kawasan Lembah Klang yang ramai penduduknya berhadapan kekurangan katil unit rawatan rapi dan kadar kematian semakin meningkat.
“Ancaman lebih banyak penularan varian virus dari India turut dilaporkan, sekali gus menambah kegelisahan di lapangan,” kata beliau sambil menambah laporan terkini menunjukkan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.
Walaupun perkara ini telah dinafikan, situasi yang berlaku harus dipantau secara dekat kerana kadar vaksinasi masih lagi rendah.
Namun begitu, Wiranto berkata diharapkan sekiranya PKP dikuatkuasakan, sebarang perintah kawalan baharu dapat menyelamatkan sebahagian besar kegiatan ekonomi seperti pada bulan Januari 2021 apabila kilang dan kedai dibenarkan beroperasi meskipun kegiatan sosial dan keagamaan dihadkan.
“Ini dapat mengehadkan kerosakan ekonomi. Namun, kesannya akan tetap terasa,” katanya. – MalaysiaGazette