Home Nasional Jamal ditawar RM1 juta tutup mulut isu judi haram

Jamal ditawar RM1 juta tutup mulut isu judi haram

Jamal Md. Yunos memakai tuala semasa membantah isu air di SUK Selangor di Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Presiden NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mendakwa diberi sebuah beg berisi wang RM1 juta oleh tauke judi di Selangor supaya menutup mulutnya daripada membongkar kegiatan haram berkenaan.

Selain itu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu juga ditawarkan bayaran setiap bulan dengan jumlah wang yang besar asal beliau tidak lagi ‘menganggu’ aktiviti premis judi haram.

“Baru-baru ini, saya diekori dan diberikan satu beg yang dikatakan berisi wang RM1 juta dan saya mencampak kembali beg tersebut kepada tokey judi itu.

“Tujuannya untuk ‘membeli’ saya. Insya Allah saya bukan orang yang mereka sangkakan. Kegiatan kedai mesin judi di  Selangor dan seluruh negara perlu dihapuskan,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas.

Baru-baru ini, Jamal bertindak agresif ‘menyerbu’ premis judi haram di Sekinchan dan Ampang selepas tindakan kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan merobohkan hotel miliknya kerana menjalankan perniagaan secara haram.

Beliau mendakwa tindakan itu dibuat kerana bantahannya kepada kerajaan negeri berkenaan isu air dan sejak itu Jamal bersama kumpulan baju merahnya mula ‘menyerbu’ premis judi haram dan mendakwa kerajaan negeri tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan berkenaan sejak sekian lama.-MalaysiaGazette