Home Utama Covid-19: PKRC, fasiliti kesihatan semakin kritikal di Kelantan

Covid-19: PKRC, fasiliti kesihatan semakin kritikal di Kelantan

Foto hiasan

KOTA BHARU – Kapasiti setiap Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan fasiliti hospital di Kelantan kini berada pada tahap kritikal berikutan jumlah kes harian pandemik yang mencecah tiga angka sejak dua minggu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin berkata enam PKRC sedia ada di negeri itu juga masih tidak mencukupi untuk menampung jumlah pesakit COVID-19.

“Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital juga sudah mencecah hampir 100 peratus sehingga pesakit ICU terpaksa ditempatkan di wad biasa.

“Peralatan ventilator sebanyak 60 unit kini hanya berbaki lima unit,” katanya pada sidang media Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Beliau berkata selain itu, terdapat lebih 2,000 pesakit positif COVID-19 di Kelantan yang dikenakan Perintah Pengasingan di Rumah (HIO) susulan penempatan PKRC tidak mencukupi.

Dr Izani berkata memandangkan pesakit yang dikenakan HIO ditempatkan di rumah, kadar kebolehjangkitan (Rt) juga semakin tinggi iaitu satu dalam tiga jangkitan.

“Sebagai contoh, kalau 2,000 pesakit akan mampu berjangkit sampai 6,000 hingga 10,000 jangkitan. Jadi, kes akan menular dengan begitu cepat, “ katanya sambil menambah bahawa bagi menyelesaikan perkara itu, kerajaan negeri membuat keputusan untuk membuka hospital lapangan di  tapak Padang Perdana dan satu lagi PKRC di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) yang mampu memuatkan 1,000 pesakit.

“Apabila kita terpaksa membuka hospital medan, ini menunjukkan keadaan di Kelantan semakin kritikal dan pada masa sama, kita terpaksa memohon bantuan daripada kakitangan Kementerian Kesihatan negeri lain,” katanya.

Beliau berkata menerusi mesyuarat khas JKKN itu, pihaknya sudah berbincang dengan Angkatan Tentera Malaysia bagi mendapatkan anggaran kos selain Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan akan turun padang melihat lokasi yang dicadangkan.

Mengulas penularan varian Afrika Selatan B.1.351 yang turut dikesan di Kelantan, Dr Izani berkata ia dipercayai berpunca daripada aktiviti rentas negeri membabitkan rakyat negeri itu yang mungkin hadir ke majlis kenduri di Kuala Lumpur.

Justeru, Dr Izani menyeru semua pihak termasuk penduduk Kelantan, perantau atau golongan kenamaan supaya tidak melakukan perjalanan rentas negeri sekiranya tiada urusan penting.

— BERNAMA