KUALA LUMPUR – Seramai 50,000 pelajar bakal terima peranti pintar pada akhir Mei 2021 di bawah program CERDIK, inisiatif jangka masa panjang sebagai penyedia akses digital untuk pendidikan.
Berikutan itu, sebanyak 100,000 peranti lagi dijangka selesai diagihkan pada akhir bulan September 2021, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.
“CERDIK adalah sebuah program perintis pembelajaran digital dan ia dilaksanakan tepat pada masanya, ketika pendigitalan kian pantas berkembang dalam semua aspek kehidupan masyarakat.
“Malah, transformasi digital telah menjadi keperluan dalam era moden ini. Seperti yang kita dapat lihat, krisis wabak Covid-19 telah jelas membuktikan bahawa pendigitalan adalah sangat diperlukan. Di serata dunia, pembelajaran maya, misalnya, sangat penting untuk memastikan persekolahan tidak terjejas dan pendidikan dapat diteruskan,” katanya menerusi kenyataan.
Jelasnya, semua peranti telah disahkan yang terkini dengan kapasiti yang mencukupi untuk penaikan taraf perisian (software upgrades) bagi menyokong pembelajaran akademik di sekolah sekurang-kurangnya tiga tahun.
“Selain itu, pengesahan kualiti, fungsi dan keselamatan setiap alat juga perlu dipastikan untuk mencegah atau meminimumkan sebarang isu atau gangguan dalam pembelajaran kelak,” tambahnya.
Setakat ini, sebanyak 13,000 peranti telah diedarkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di beberapa buah negeri dan lebih daripada 1,000 pelajar telahpun menerima peranti mereka.
Untuk rekod, CERDIK merupakan sebuah program kerjasama antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pendidikan (KPM), yang bertujuan untuk merapatkan jurang pembelajaran digital bagi sekolah rendah dan menengah di Malaysia.
Program perintis ini dibiayai sepenuhnya oleh GLC/GLIC dan penderma korporat, di mana setiap pihak perlu melalui proses kawal selia masing-masing.
Sementara itu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, program ini akan memberi manfaat kepada pelajar khususnya dalam keadaan pandemik ini.
“Covid-19 telah memesatkan penggunaan digital buat orang ramai dan pembelajaran jarak jauh semakin menjadi satu kebiasaan. Program CERDIK diperkenalkan untuk merapatkan jurang sosio-ekonomi dengan memudahkan pembelajaran digital untuk golongan berpendapatan rendah.
“Program perintis ini membolehkan pembelajaran digital yang perlu dijadikan komponen asas dalam pendidikan anak-anak kita jika kita ingin meraih manfaat ekonomi melalui Revolusi Industri Keempat,” katanya. – MalaysiaGazette